Penasihat kepada perdana menteri, Datuk Seri Dr Khairil Annas Jusoh berpegang kepada amanat Datin Seri Rosmah Mansor yang menggesa agar beliau berserah diri kepada Allah dalam kehidupan.
Khairil berkata, pesanan itu disampaikan Rosmah kepadanya sebelum menghantar buku tulisannya tentang kerjaya politik Datuk Seri Najib Razak selama 40 tahun untuk dicetak.
"Hari itu saya tanya Datin (Seri Rosmah) apa 2 perkara Datin hendak beritahu sebelum saya muktamadkan buku saya. Dia sebut, percayalah kepada qada dan qadar dan rezeki daripada Allah.
"Orang tak kenal kita Nas (nama mesra Khairil pada Rosmah), orang boleh cakap macam-macam.
"Itulah dia ketabahan seorang isteri," katanya semasa pelancaran buku meja kopinya tentang kerjaya politik perdana menteri selama 40 tahun bertajuk "Najib Razak Berjiwa Besar: Empat Dekad Menongkah Arus Kepimpinan dan Politik (1976 - Kini), di Kuala Lumpur petang ini.
Buku setebal 467 halaman itu dijilid dengan kulit keras dan setiap halamannya dicetak menggunakan kertas berkilat.
Ia diterbitkan Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) yang dipengerusikan Khairil sendiri.
Dalam ucapan sama, Khairil turut menceritakan pengalamannya bekerja dengan Najib yang disifatkan sebagai seorang yang sangat budiman dan amat susah marah.
Katanya, sejak mula bertugas pada 1997, beliau hanya pernah dimarahi Najib yang dirujuknya sebagai "bos" sebanyak 3 kali.
"Datuk Seri Mohd Najib ini saya amati secara dekat, secara harian dalam tugas saya selama berbelas tahun, 3 kali saja marah dekat saya.
"Itupun paling dahsyat dia mengetap gigi, dia tak pernah meninggikan suara. Walaupun saya ini emosi, tetapi Datuk Seri Najib ini orang yang dekat dengan dia tahu dia sangat cool," kata Khairil yang mula berkhidmat dengan Najib sejak 1997.
Khairil juga terharu dengan majlis pelancaran buku itu yang katanya mendapat sambutan luar biasa termasuklah mengumpulkan rakan-rakan lamanya yang bersungguh mahu menzahirkan penghargaan mereka kepada Najib.
"Kita mengundang 400 orang tetapi yang mahu hadir 890 orang.
"Ada rakan-rakan yang sudah tak lama datang pun hari ini datang. Barang kali, inilah tanda kasih kita kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib," katanya. – 29 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments