Bahasa

Pendebat utama Asia bentuk kumpulan anak muda tolak kepimpinan Najib

Jurucakap Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ahli kumpulannya hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sekutunya, kerana tindakan mereka menjejaskan dan akan mengorbankan masa depan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mac, 2016.Jurucakap Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ahli kumpulannya hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sekutunya, kerana tindakan mereka menjejaskan dan akan mengorbankan masa depan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mac, 2016.Jelak dengan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pendebat utama Asia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 24 anak muda lain membuat keputusan menolak kepimpinan negara ketika ini.

Mereka membentuk sebuah kumpulan dikenali sebagai "Challenger", singkatan untuk "Change Led by the Young Generation" (Perubahan Dibawa Generasi Muda), dan baharu sahaja melancarkan laman Facebook mereka sendiri. 

Sekumpulan 25 pemuda itu terdiri daripada wakil pelajar dan pemimpin belia dari pelbagai universiti tempatan dan antarabangsa, dengan Syed Saddiq dilantik sebagai jurucakapnya. 

"Kami hilang kepercayaan terhadap Najib dan sekutunya, kerana tindakan mereka menjejaskan dan akan mengorbankan masa depan Malaysia. 

"Cinta kami kepada Malaysia tiada tandingan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kami bersuara terhadap mereka yang cuba menghancurkan negara tercinta ini.

"Kami, generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara, bertanggungjawab menyelamatkan masa depan negara dari masa sekarang," kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Challenger.

Ahli kumpulan itu mendakwa mereka tidak memihak mana-mana parti politik dan berkata, mereka bersatu menentang pentadbiran Najib berikutan "salah urus" dalam krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan siasatan ke atas syarikat pelaburan milik negara itu.

"Krisis ini melampaui kes-kes rasuah lain kerana ia melibatkan serangan yang konsisten ke atas teras utama tadbir urus Malaysia," kata kumpulan itu sambil menyenaraikan perkara yang menjadi kebimbangan itu termasuk pertukaran penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penggantian mengejut peguam negara dan pelantikan ahli Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ke dalam Kabinet yang menyebabkan kelewatan siasatan panel itu ke atas 1MDB.

"Media tidak terkecuali daripada serangan ini. The Edge, Sarawak Report, Medium dan baru-baru ini, The Malaysian Insider, semuanya digantung kerana laporan kritikal mengenai 1MDB dan dakwaan skandal rasuah terhadap perdana menteri," kata kumpulan itu.

Syed Saddiq, 22, memberitahu The Malaysian Insider yang Challenger adalah seperti G25, kumpulan tokoh Melayu terpelajar yang terkenal dan berpengaruh termasuk pendidik dan bekas penjawat awam yang menyokong kesederhanaan dalam agama dan pembaharuan dalam tadbir urus yang baik.

"Bagaimanapun, memang sesuatu yang kebetulan, kami juga bermula dengan 25 orang ahli.

"Kami memutuskan untuk mewujudkan kumpulan ini dan membentuknya dalam keadaan tergesa-gesa Isnin lepas. Lebih ramai pemimpin belia dijangka menyertai kumpulan ini," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata Challenger merancang untuk menyuarakan pandangan mengenai perkara-perkara berkaitan dengan hala tuju negara dan akan mengadakan pelbagai program kesedaran.

"Kami akan membincangkan perkara ini di kalangan ahli tidak lama lagi," katanya.

Syed Saddiq menarik perhatian pengamal media tahun lepas, selepas menulis catatan di laman sosialnya menggelar Najib sebagai sesuatu yang "memalukan negara".

Beliau yang menjuarai debat Asia sebanyak 3 kali dan pernah menjadi Fellow Perdana kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, beliau bukan ahli Umno atau mana-mana parti.

Beliau bagaimanapun, berminat menyertai politik, dan dalam satu temubual dengan The Malaysian Insider pada November lepas, Syed Saddiq menyatakan akan membuat keputusan mengenai parti pilihannya selepas menilai keadaan politik semasa dan pemimpin parti.

Beliau memenangi Anugerah Pembahas Terbaik Asia pada Kejohanan Debat Parlimen British Asia 2015, Oktober tahun lalu.

Dua kejuaraan yang dimenangi beliau sebelum ini adalah pada Kejohanan Debat United Asian (UADC) 2015 dan Kejohanan Debat ABP pada 2012. – 2 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments