Pertikaian yang sering timbul akibat penukaran agama kanak-kanak secara unilateral kepada Islam oleh salah seorang pasangan mungkin boleh diselesaikan dengan merangka satu kurikulum mengenai pengantaraan atau mediasi, kata pengerusi baharu Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) Datuk Azman Amin Hassan (gambar, kanan).
Bekas ketua pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu memberitahu The Malaysian Insider, menyelesaikan masalah hak penjagaan anak antara agama seperti M. Indira Gandhi dan S Deepa adalah isu utama yang beliau harap jawatankuasa itu akan dapat tangani dalam tempoh 2 tahun penggalnya.
Bagi mencapai matlamat ini, jawatankuasa itu menggubal kurikulum pengantaraan bersama-sama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), yang mereka harap akan menawarkan penyelesaian kepada isu agama yang dibawa ke mahkamah.
"Perkara ini sedang diusahakan selama 2 tahun ini. Kurikulum pengantaraan itu, yang direka dengan UIA, sepatutnya membantu apabila isu-isu agama timbul, mengenai bagaimana pihak tertentu boleh menjadi pengantara untuk mencapai penyelesaian secara baik," kata Azman.
"Kita sudah lama bercakap tentang isu ini, terutama apabila ia menyentuh penukaran agama kanak-kanak secara unilateral dan dalam kes di mana keluarga tidak diberitahu salah satu daripada anggota mereka sudah memeluk Islam.
"Isu penukaran agama kanak-kanak sedikit rumit, jadi kami mahu menyenaraikan isunya berdasarkan kepentingan dan akan tampil dengan satu pelan tindakan dan terma rujukan apabila kami bermesyuarat lagi bulan depan," kata Azman.
Azman bersara sebagai ketua pengarah pada 2013. JKMPKA ditubuhkan pada 2010 di bawah jabatan itu. Beliau dan anggota baharu JKMPKA yang lain diumumkan bulan lepas.
Walaupun berita mengenai kurikulum mediasi ini terlambat untuk pengurus restoran Deepa, yang selepas 2 tahun memperjuangkan kesnya di mahkamah hanya diberi hak penjagaan anak perempuannya sementara anak lelakinya diberi kepada bekas suaminya yang mualaf, Azman berharap mereka mempunyai sijil mediasi itu nanti mampu menyelesaikan konflik antara agama seperti itu tanpa membawanya ke mahkamah.
"Apa yang berlaku sekarang, apabila pergi ke mahkamah, pihak yang menang akan gembira tetapi pihak satu lagi tidak.
"Tidak akan ada akhirnya kepada keadaan ini dan tiada siapa yang betul-betul puas hati, jadi kami mahu menggalakkan pengantaraan dulu," katanya.
Azman berkata sepanjang beberapa tahun lalu, JKMPKA berjaya membina kepercayaan di kalangan pemimpin agama, yang kemudiannya memudahkan perbincangan mengenai isu agama.
"Perkara pertama yang kami sasarkan ialah membina keupayaan di kalangan pemimpin agama.
"Kami melakukannya dengan menganjurkan ceramah, terutama mengenai agama yang berbeza, sebagai contoh, untuk menerangkan konsep Islam tertentu kepada orang lain dan juga sebaliknya."
Azman berkata jawatankuasa itu menganjurkan aktiviti seperti Minggu Keharmonian Antara Agama, dengan tujuan utama menggalakkan perpaduan dan toleransi di kalangan rakyat Malaysia berlainan agama.
Katanya, pada 2013 Malaysia memenangi hadiah ketiga dalam Minggu Keharmonian Antara Agama dan pergi ke Jordan untuk menerima anugerah itu.
Melangkah ke depan, Azman berharap lebih ramai orang menyertai aktiviti mereka dan untuk itu, akan melakukan hebahan mengenai program mereka menerusi media.
Beliau juga mahu memastikan perbincangan di peringkat jawatankuasa itu mendapat lebih banyak publisiti.
"Saya rasa perlu ada lebih banyak berita mengenai kami, barulah orang ramai tahu apa yang kami lakukan dan boleh mengambil bahagian dalam aktiviti dan program kami."
Zaid Kamaruddin, ahli Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam, yang bersama jawatankuasa itu sejak penubuhannya, memberikan bukti yang menyokong kata-kata Azman mengenai kejayaan jawatankuasa itu dalam membina hubungan baik di kalangan ahlinya yang mempunyai latar belakang agama berbeza.
Beliau berkata, hubungan itu sekarang bertukar menjadi persahabatan, sambil menambah, mereka juga berusaha supaya orang ramai turut senada dalam usaha membina jambatan di kalangan penganut agama berbeza.
Memandangkan ini penggal ketiga beliau bersama jawatankuasa itu, Zaid berharap ia akan dapat tampil dengan cadangan muktamad mengenai isu penukaran agama untuk dikemukakan kepada kerajaan.
"Ini menjadi harapan saya untuk dua tahun akan datang sebagai ahli jawatankuasa, supaya kita boleh memberi cadangan yang baik kepada kerajaan dalam menangani isu penukaran agama." – 11 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments