Anggota satu pasukan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatan mereka dari Mozambique di negara Afrika selatan itu esok untuk berbincang mengenai penemuan satu objek yang dipercayai berasal dari pesawat Malaysia MH370 yang hilang.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata: "Mereka akan berjumpa dengan ketua pengarah DCA Mozambique esok untuk berbincang mengenai penemuan itu dan membawa pulang serpihan berkenaan".
Pasukan 3 anggota Malaysia itu, yang terdiri daripada penyiasat dan petugas daripada DCA dan Malaysia Airlines, kini berada di Mozambique bersama-sama rakan sejawatan mereka dari Australia berikutan laporan mengenai penemuan bahagian pesawat awal minggu ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu MCA Kepong bernilai RM7 juta hari ini.
Terdahulu, Liow berkata penemuan itu besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan Boeing 777, model pesawat yang sama dengan pesawat MAS yang hilang sejak 2 tahun lepas.
Beliau berkata, objek itu akan dihantar ke Australia untuk diperiksa, tetapi akan kekal di bawah penjagaan Malaysia.
Mengenai tuntutan pampasan yang difailkan waris penumpang MH370, Liow berkata setakat ini, kurang daripada 60 kes diselesaikan.
"Sekali lagi, saya ingin menggesa para waris supaya memfailkan tuntutan mereka sebelum 8 Mac, sebelum hak mereka untuk menuntut pampasan berakhir.
"Ini sejajar dengan konvensyen Montreal, yang mensyaratkan waris mangsa memfailkan tuntutan pampasan dalam masa 2 tahun dari tarikh berlaku kejadian," katanya.
Liow berkata, pada 8 Mac, satu kenyataan sementara akan dikeluarkan para penyiasat Malaysia, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menyampaikan ucapan bagi memperingati ulang tahun ke-2 tragedi itu.
Pesawat MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014 setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. – Bernama, 6 Mac 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments