Bahasa

Permohonan Khairuddin mentaksahkan rayuan pihak pendakwaan didengar 20 April

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Mac 2016.	Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Mac 2016. Mahkamah Rayuan menetapkan 20 April untuk mendengar permohonan bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mentaksahkan rayuan pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 18 November tahun lepas yang membenarkan Khairuddin dan peguam Matthias Chang, yang menghadapi pertubuhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012, dibebaskan dengan jaminan.

Tarikh pendengaran bagi permohonan Khairuddin itu ditetapkan di dalam kamar oleh Timbalan Pendaftar Ahmad Faizadh Yahaya semasa kes itu dikemukakan di hadapannya untuk pengurusan kes hari ini.

Peguam mewakili Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang turut hadir semasa prosiding pengurusan kes itu, memberitahu pemberita permohonan anak guamnya untuk membatalkan rayuan pihak pendakwaan terlebih dahulu akan didengar panel 3 hakim Mahkamah Tinggi sebelum mahkamah meneruskannya dengan pendengaran sebenar.

Beliau berkata mahkamah turut menetapkan hari yang sama (20 April) bagi pengurusan kes berkaitan dengan rayuan pihak pendakwaan itu.

Katanya pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit balasan berkaitan permohonan Khairuddin, dalam tempoh 2 minggu dari hari ini dan pihak pendakwaan dan pembelaan perlu menyerahkan hujahan masing-masing sebelum 13 April.

Haniff berkata atas arahan anak guamnya, beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar yang Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun perlu dikeluarkan daripada menjadi ahli panel Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan.

Katanya Idrus sebelum ini merupakan Peguam Cara Negara di Pejabat Peguam Negara semasa SOSMA diluluskan, dan menurutnya pendengaran kes itu di mahkamah merupakan satu cabaran terhadap SOSMA.

Turut hadir pada prosiding pengurusan kes itu ialah Timbalan Pendakwa Raya  Jasmee Hameeza Jaafar mewakili pihak pendakwaan, peguam Zainur Zakaria dan peguam Akmal Afiq Mohamed mewakili Chang dan peguam Fahmi Abd Moin, yang turut mewakili Khairuddin, bersama-sama dengan Mohamed Haniff.

Pada 26 Februari lepas, seorang daripada hakim dalam panel Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Zawawi Salleh menarik diri daripada mendengar rayuan pihak pendakwaan kerana menurutnya beliau berjiran dengan kakak sulung Khairuddin dan mengenalinya dengan "amat rapat".

Pada 18 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan yang dihadapi Khairuddin dan Chang bukan kesalahan keselamatan serta tidak termasuk di bawah SOSMA dan oleh itu, kedua-dua mereka boleh dibebaskan dengan ikat jamin.

Khairuddin, 54, dan Chang, 66, dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia di 5 lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.

Lokasi itu ialah pejabat ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross, London, United Kingdom; pejabat peguam negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hongkong; dan Ibu Pejabat Kantomen Polis, Singapura.

Kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama, jika disabitkan kesalahan.– Bernama, 7 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments