Biarpun selama ini lantang mengkritik, pensyarah undang-undang Prof Madya Dr Azmi Sharom mengakui beliau berasa sangat takut ketika pertama kali didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, 2 tahun lalu, yang boleh menyebabkan hukuman penjara.
Azmi bimbang dipecat dari Universiti Malaya (UM), sebuah universiti awam yang pasti akan memaksa beliau meletak jawatan sebagai pensyarah kanan jika disabitkan atas kesalahan jenayah.
Namun, pensyarah berusia 44 tahun itu mengatasi ketakutan itu.
Walaupun berdepan dakwaan, beliau terus menganjurkan ceramah dan mengambil bahagian dalam forum di mana beliau akan memberikan pandangan mengenai undang-undang dan hak asasi di Malaysia.
"Hasutan satu jenayah. Dan saya bekerja di sebuah universiti awam. Kerana itu, satu jenayah, tidak kira betapa zalimnya undang-undang itu, pasti akan menjadi alasan untuk mereka memecat saya jika mereka mahu," katanya.
Tetapi, Azmi meraih kekuatan daripada keyakinannya iaitu apa dilakukannya – mentafsirkan undang-undang dan Perlembagaan dan menerangkan bagaimana kesannya kepada rakyat biasa – adalah betul dan wajar.
"Saya tahu, yang utamanya, saya tidak melanggar undang-undang atau peraturan UM.
"Hakikat yang mereka (peguam negara) menggugurkan pertuduhan itu sekali gus membuktikan saya tidak melanggar mana-mana undang-undang.
"Kalau saya tahu apa yang saya lakukan adalah betul, mengapa saya perlu takut?" kata Azmi kepada The Malaysian Insider sehari selepas beliau dibebaskan.
Azmi didakwa kerana memberi komen dalam satu artikel mengenai bagaimana krisis menteri besar Selangor pada 2014 boleh diselesaikan dengan berpandukan proses peralihan kuasa kerajaan Perak pada 2009.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan pada September 2014 selepas krisis menteri besar Selangor selesai.
"Perkara yang paling penting saya ada bukti menyokong semua hujah saya. Saya sentiasa mengukuhkan hujah saya menggunakan contoh kes.
"Saya sentiasa berhati-hati dengan apa yang saya katakan dan saya cuba sedaya upaya untuk tidak memfitnah."
Azmi dilepas dan dibebaskan pada Jumaat lalu selepas Pejabat Peguam Negara mengumumkan menggugurkan tuduhan terhadap beliau pada 12 Februari.
Walaupun gembira dibebaskan, namun katanya, beliau tidak dapat meraikannya sepenuh hati sehingga individu lain yang didakwa kerana menghasut sepertinya dibebaskan.
Azmi bagaimanapun menegaskan beliau tidak pernah menganggap dirinya seorang wira atau seorang yang amat berani – sesuatu yang menarik, memandangkan ruangan popular beliau di akhbar berbahasa Inggeris The Star menggunakan tajuk “Brave New World” (dunia baru yang berani).
Selain Majlis Peguam, ramai wartawan mengakui Azmi mungkin antara sebilangan kecil pakar undang-undang dan ahli akademik yang sedia bercakap mengenai isu undang-undang yang menjadi perbalahan.
Ini di sebalik hakikat Malaysia mempunyai jumlah pensyarah dan profesor undang-undang yang cukup ramai di universiti serta kolej awam dan swasta di seluruh negara.
"Jika kita hidup dalam sistem yang menindas, maka bukankah tanggungjawab kita untuk bersuara? Bagi saya, ia hanya pertimbangan akal. Bukan heroisme.
"Jika anda tidak melakukan apa-apa, keadaan akan menjadi lebih buruk. Bagaimana dengan anak kita? Adakah kita sepatutnya hanya mencari wang supaya kita boleh menghantar anak kita ke luar negara?
"Bagi saya, mengapa saya perlu menjalani kehidupan dalam ketakutan? Jika anda mempunyai pendapat, suarakannya. Tiada apa boleh berubah jika rakyat diam membisu."
Jadi, jika Azmi yang berambut panjang dan sering dilihat bertocang itu dipecat, adakah beliau mempunyai pelan B?
"Ya. Iklan syampu," jawabnya. – 22 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments