PKR akan berbincang dengan PAS mengenai calon yang akan diturunkan pada pilihan raya Sarawak ke-11 akan datang.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata perbincangan itu penting bagi mengelak pertindihan kerusi calon pembangkang.
"Hal itu perlu bagi mempertahankan kerusi calon 'satu lawan satu' dan kami harap PAS tidak menolak proses perbincangan.
"Masih ada ruang untuk perbincangan, biasanya kerusi calon ini kita bincang sampailah sebelum penamaan calon," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata perubahan yang ingin dibuat oleh parti pembangkang perlu dibuat secara kolektif bukan secara bersendirian.
PAS baru-baru ini mengesahkan akan meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan bulan depan.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu bertanding untuk menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan kepada rakyat negeri ini calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke DUN.
Sebelas kerusi DUN tersebut ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut, katanya. – Bernama, 14 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments