Bahasa

Polis beri amaran tindakan keras atas ucapan menghasut perhimpunan 27 Mac

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penceramah pada perhimpunan Selamatkan Malaysia perlu berhati-hati, walaupun mereka berucap dalam kawasan yang tertutup. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penceramah pada perhimpunan Selamatkan Malaysia perlu berhati-hati, walaupun mereka berucap dalam kawasan yang tertutup. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Polis memberi amaran mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuat ucapan dianggap menghasut di perhimpunan Selamatkan Malaysia pada 27 Mac ini, di mana seruan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dijangka akan terus dilaungkan.

Mereka yang dijangka berucap ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Umno lain yang menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gerakan itu yang berusaha ke arah menggantikan Najib.

Penganjur acara itu, Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan kehadiran Muhyiddin dan pemimpin Umno lain serta berkata, Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama, yang kemudiannya akan dibincangkan dan dibahaskan pemimpin lain.

Seorang lagi pengkritik lantang Najib, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal juga mengesahkan kehadiran dan penyertaan beliau dalam perhimpunan itu.

Tetapi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penceramah pada majlis itu perlu berhati-hati, walaupun mereka berucap dalam kawasan yang tertutup.

"Saya tidak tahu di mana mereka nak buat perhimpunan tapi walaupun dalam kawasan tertutup kami (polis) akan pantau (ucapan)," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di Miri, Sarawak hari ini.

Program Kongres Rakyat, Selamatkan Malaysia itu akan diadakan di dewan konvensyen berhampiran Shah Alam dan akan berlangsung dari jam 2 hingga 7 petang, di mana satu resolusi akan dibacakan di akhir kongres.

"Kita akan membariskan 18 pemimpin dari pelbagai kalangan untuk berucap dan Dr Mahathir bersetuju memberikan ucaptama kongres ini," kata Zaid kepada The Malaysian Insider.

Dr Mahathir dijangka akan menetapkan premis perbincangan ini yang bakal menjadikan tuntutan peletakan jawatan Najib sebagai agenda utama.

Ini merupakan teras utama Deklarasi Rakyat yang diterajui Dr Mahathir bersama penandatangan lain pada 4 Mac, satu peristiwa yang menghimpunkan individu yang merupakan saingan politik satu sama lain dan beberapa pemimpin masyarakat sivil.

Ini adalah siri ke-3 program Selamatkan Malaysia selepas program pertama dilancarkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa di Kulai, Johor, 27 Februari lepas, anjuran Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) pimpinan Mazlan Aliman yang juga presiden Anak.

Ia diikuti majlis menandatangani Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia dihoskan Dr Mahathir di Kuala Lumpur itu.

Zaid, bekas menteri undang-undang ketika bersama Umno, sebelum ini berkata, kongres 27 Mac itu merupakan acara tertutup yang menghimpunkan pemimpin yang mahu melihat kedaulatan undang-undang ditegakkan.

Beliau sebelum ini memberitahu The Malaysian Insider, antara pemimpin pembangkang yang setuju hadir ialah Husam, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Zaid mencetuskan idea bagi mengadakan perhimpunan itu selepas Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali mengumumkan hujung Januari lalu, tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Najib dengan sebarang salah laku jenayah berkaitan aliran wang RM42 juta daripada SRC International dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau yang dimasukkan pada 2013 sejurus sebelum pilihan raya umum ke-13.– 11 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments