Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakamkan percakapan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan yang dikeluarkannya di laman blog miliknya sebelum ini mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua polis negara itu berkata, PDRM terpaksa menjalankan tugas mereka merakamkan percakapan bekas perdana menteri itu susulan terdapat beberapa laporan polis yang diterima mereka berhubung artikel tersebut.
“Kita merakam percakapan beliau berkenaan dengan apa beliau tulis dalam blognya. Kami menerima beberapa laporan. Polis terpaksa jalankan siasatan.
“Kita akan merakamkan percakapan hari ini, diaturkan di satu tempat. Hari ini, bukan di Bukit Aman,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Ketika ditanya lokasi sesi rakaman tersebut, Khalid berkata: “Saya rasa sedang berlangsung sekarang.”
Ketika ditanya sama ada sesi rakaman percakapan itu berlangsung di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, Khalid berkata: “Mungkin. Saya rasa ya.”
Khalid sebelum ini dilaporkan berkata siasatan terhadap Dr Mahathir dilakukan berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman 2 tahun penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan berkaitan fitnah.
Dalam tulisan di blognya pada 5 Februari, Dr Mahathir menyerang Apandi berhubung keputusan tidak mendakwa perdana menteri, mengatakan pendakwa utama negara itu tiada kredibiliti.
Beliau juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meletak jawatan jika Malaysia mahu mendapatkan semula reputasinya.
"Untuk membersihkan nama baik Malaysia dan beliau sendiri, Najib perlu membuktikan tanpa keraguan beliau tidak bersalah dalam semua tuduhan terhadapnya.
"Peguam negara kata beliau tidak bersalah tidak bermakna apa-apa. Beliau, peguam negara itu, tidak mempunyai kredibiliti," tulis Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini mengkritik Apandi berhubung kenyataan beliau bulan lalu tidak akan mendakwa Najib dalam kes derma RM2.6 bilion dan syarikat milik Kementerian Kewangan SRC International Sdn Bhd kerana kekurangan bukti.
Beliau berkata, peguam negara bertindak sebagai hakim dan pendakwa dalam satu masa bagi kes itu. Beliau juga menuduh Apandi berada di bawah kawalan Najib.
Dr Mahathir juga mengkritik Apandi kerana menutup kes berkaitan penemuan Bank Negara Malaysia mengenai pengisytiharan tidak tepat 1MDB untuk pelaburannya di luar negara.
Ini merupakan kali ke-2 Dr Mahathir disoal siasat polis.
Sebelum ini, Dr Mahathir turut disiasat polis kerana memfitnah selepas membuat kenyataan pada perhimpunan Bersih 4 tahun lepas. – 24 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments