Polis Selangor meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai berikutan insiden pengeboman di Jakarta pada Khamis.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata antara lokasi terbabit adalah pusat beli-belah, pusat hiburan, lokasi pelancongan dan pintu keluar masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah,
Subang serta pelabuhan-pelabuhan di negeri ini.
Beliau meminta orang ramai supaya tidak panik atau cemas kerana situasi keselamatan di Selangor adalah terjamin.
"Polis juga ingin mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita-berita palsu atau tidak sah mengenai situasi keselamatan sama ada menerusi media sosial atau lain-lain saluran bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
"Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan kegiatan pengganas di kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Khamis lepas, 7 orang – 5 pengganas dan 2 orang awam – disahkan terkorban dalam insiden tembak-menembak serta serangan bom berhampiran Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin, di tengah-tengah ibu kota Jakarta.
Susulan insiden itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi bagi mengelak insiden seumpama itu berlaku di Malaysia. – Bernama, 16 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments