Bahasa

Projek sakit di Sarawak siap hujung bulan ini, kata menteri

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek pembangunan dan infrastruktur yang tergendala di Sarawak akan disiapkan menjelang akhir bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Mac, 2016.Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek pembangunan dan infrastruktur yang tergendala di Sarawak akan disiapkan menjelang akhir bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Mac, 2016.Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi jaminan projek pembangunan dan infrastruktur yang tergendala di Sarawak akan disiapkan menjelang akhir bulan ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebanyakan “projek sakit” (projek tergendala) itu adalah projek jalan raya serta bekalan elektrik dan air luar bandar.

Beliau berkata antara faktor penyebab projek tersebut tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual adalah masalah mendapatkan tapak projek.

"Saya berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan memberi jaminan projek sakit ini akan disiapkan pelaksanaannya menjelang akhir Mac ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian peringkat Negeri Sarawak 2015 di Kuching, hari ini.

Ismail Sabri berkata sebuah jawatankuasa petugas ditubuhkan dan dipengerusikan ketua setiausaha kementerian bagi tujuan pemantauan pelaksanaan projek bagi memastikan ia siap menjelang akhir Mac ini.

Beliau berkata sejak 2010 sehingga kini terdapat 92 projek sakit di Sarawak.

Ismail Sabri berkata 26% daripada peruntukan pembangunan berjumlah RM5.4 bilion tahun ini diperuntukkan kepada Sarawak memandangkan masih banyak kemudahan untuk penduduk luar bandar di negeri ini perlu dilaksanakan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata peruntukan yang besar yang disediakan kerajaan bagi projek pembangunan untuk rakyat tidak akan membawa apa-apa makna jika prestasi pelaksanaannya tidak memuaskan.

Sehubungan itu, katanya, sistem penyampaian harus dititikberatkan agar tidak berlaku projek sakit seperti yang berlaku di negeri ini kerana rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap kementerian untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan.

Beliau juga menggesa pegawai dan kakitangan agensi terlibat supaya sentiasa turun padang untuk memantau pelaksanaan projek di bawah seliaan masing-masing serta memastikan sistem penyampaian yang sempurna.

Pada majlis itu, seramai 246 kakitangan terdiri daripada 188 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), 41 (Mara) dan 17 (Pihak Berkuasa kemajuan Pekebun kecil Perusahaan Getah (Risda)) menerima anugerah. – Bernama, 1 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments