Ahli Parlimen DAP Tony Pua hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat cerita palsu berhubung pembayaran RM170 juta yang dipulangkan semula kepada SRC International.
Pua berkata Najib tidak mengemukakan bukti transaksi mengenai wang yang dipulangkan kepada SRC International daripada syarikat Putra Perdana Construction untuk sebuah projek pembinaan "turnkey".
"Alasan yang diberikan menteri kewangan tidak mengemukakan bukti atau data berasas, ia mengagumkan kerana perdana menteri juga menerima dana RM2.6 bilion daripada penderma Arab," kata Pua pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Pua mendesak Najib mendedahkan nilai projek tersebut dan mempersoalkan mengapa tiada laporan media dibuat berhubung projek yang dibayar SRC International tersebut.
"Apakah nilai projek yang memerlukan SRC International membayar awal dengan jumlah besar RM170 juta?
"Mengambil kira SRC merupakan sebuah syarikat subsidiari milik sepenuhnya kerajaan, apakah sebenarnya projek mega ini, di mana laporan yang memetik kenyataan menteri dalam media mengenai projek ini?" katanya.
"Lebih teruk lagi, jumlah sebenar yang dipindahkan kepada Putra Perdana Contrsuction ialah RM197 juta tetapi hanya RM170 juta dipulangkan semula.
"Baki RM27 juta disalurkan ke akaun peribadi Najib oleh Putra Perdana Contruction sejurus menerima resit daripada SRC International.
"Jika jumlah itu dipindahkan ke projek yang tidak dinamakan itu, mengapa RM27 juta tidak dipulangkan Putra Perdana kepada SRC International tapi sebaliknya diberikan kepada Najib?" katanya.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Najib yang juga menteri kewangan berkata dana RM170 juta itu bertujuan untuk pembayaran projek tersebut tetapi ia kemudiannya dibatalkan.
"Untuk makluman Yang Berhormat, RM170 juta dibayar kepada Syarikat Putra Perdana Construction adalah bagi tujuan pembayaran projek pembinaan 'turnkey' yang mana kemudiannya dibatalkan dan wang tersebut dipulangkan sepenuhnya kepada SRC," kata Najib.
Beliau berkata demikian menjawab Pua yang meminta menteri kewangan menyatakan tujuan SRC International membuat pembayaran RM170 juta antara 8 Julai dan 8 Ogos, 2014 kepada Syarikat Putra Perdana Construction.
Wakil rakyat DAP itu turut bertanya mengapa RM27 juta daripada jumlah itu disalurkan ke akaun bank Najib.
Najib dalam jawapan itu bagaimanapun berkata, SRC tidak mempunyai maklumat berkenaan perkara itu sebaliknya mempertikai laporan tersebut oleh sebuah portal berita. – 10 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments