Malaysia harus mempunyai pelan induk sumber manusia bagi mengurangkan "ketagihan" kepada buruh tidak mahir yang murah, bukannya mengambil jalan mudah dengan meningkatkan bilangan pekerja asing di negara ini, kata pertubuhan Centre for a Better Tomorrow (Cenbet).
Presiden bersama Cenbet, Gan Ping Sieu, berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa berdepan masalah itu berdasarkan model ekonomi yang menjadi sasaran rakyat Malaysia dan melakukan apa yang sesuai demi kepentingan negara.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri perlu menjelaskan perkara sebenar kenapa negara memerlukan 1.5 juta pekerja Bangladesh dan sektor mana yang mahukan mereka.
Tiada keterangan jelas mengenai perkara ini, kata Gan, menimbulkan kesangsian.
"Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan bagaimana ia dapat angka 1.5 juta itu, sektor mana pekerja-pekerja itu akan ditempatkan dan mengapa pekerja Bangladesh yang lebih disukai berbanding warga asing lain.
"Ketiadaan penjelasan seperti itu pastinya menimbulkan syak wasangka dan keresahan.
"Menyediakan statistik mengenai berapa ramai pekerja diperlukan setiap sektor boleh membantu meletakkan isu sumber manusia ini di konteks dan perspektif yang betul.
"Dengan itu, membolehkan perdebatan rasional dan sihat mengenai isu-isu berkaitan," kata Gan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ketika ini, terdapat kira-kira 13 juta pekerja di kalangan rakyat Malaysia, dan jika ditambah dengan 1.5 juta pekerja asing baru serta anggaran 5 juta pekerja asing sedia ada, Malaysia akan mempunyai nisbah 2:1 pekerja tempatan kepada pekerja asing.
"Adakah negara kita selesa dengan nisbah ini?" soal beliau, sambil menambah Cenbet tidak menentang usaha membawa masuk buruh asing untuk melakukan kerja yang sering dianggap kotor, berbahaya dan sukar oleh penduduk tempatan, tetapi negara memerlukan satu pelan induk bagi mengurangkan ketagihan yang dikatakannya.
Langkah kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh 3 tahun akan datang mengundang kritikan banyak pihak.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia negara melakukan kerja dalam sektor yang kotor, berbahaya dan sukar yang kini dikuasai pekerja asing. – 16 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments