Bahasa

Putrajaya sedia pinda undang-undang kes tukar agama secara unilateral, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata beberapa negeri sudah memberi jawapan rasmi dalam usaha Putrajaya meminda undang-undang kes tukar agama secara unilateral. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac 2016.	Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata beberapa negeri sudah memberi jawapan rasmi dalam usaha Putrajaya meminda undang-undang kes tukar agama secara unilateral. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac 2016. Beberapa siri perbincangan dan perundingan dengan negeri-negeri sudah dimulakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri hari ini, selepas Putrajaya menggubal undang-undang baru menangani isu kontroversi pertukaran agama kanak-kanak yang dibuat secara unilateral.

Katanya, tindakan diambil untuk mempercepatkan usul untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, termasuk melalui perbincangan dengan badan-badan agama Islam di seluruh negara.

"Beberapa negeri sudah pun memberikan kami jawapan rasmi. Rakan-rakan saya di jabatan agama Islam kini secara aktif berhubung dengan badan-badan agama negeri. 

"Proses ini masih berterusan," katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto di Dewan Rakyat hari ini.

Wakil rakyat DAP itu mahu mengetahui sama ada kerajaan berhasrat menghentikan kes penukaran agama unilateral dan bentuk inisiatif yang diambil setakat ini oleh peguam negara untuk meminda akta yang dikatakan itu.

Beliau mendakwa, Putrajaya melengah-lengahkan perkara itu memandangkan hanya terdapat sedikit kemajuan sahaja ketika ini.

"Yang Berhormat (Kasthuriraani) kata, sekarang sudah 7 tahun. Saya juga bimbang dan menjadi tanggungjawab saya menyelesaikan masalah ini. Saya seorang Muslim, saya juga tidak mahu agama saya disalahgunakan untuk mencapai agenda orang lain.

"Kalau ada cadangan yang baik, kami sedia berbincang. Kami sudah mengambil tindakan," kata Nancy.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah menyiapkan draf mengenai Undang-undang Pembaharuan dan tidak adil untuk mengatakan kerajaan tidak melakukan apa-apa.

Mengenai sama ada perlu ada jawatankuasa yang ditubuhkan di Parlimen untuk berbincang dan menangani isu, Nancy berkata, perkara itu perlu dibincangkan kemudian kerana proses rundingan masih berjalan.

Bulan lalu, Nancy memberitahu Bernama, Putrajaya merancang meminda 3 akta mengenai hak penjagaan anak dan harta sekiranya ada pertukaran agama oleh suami atau isteri.

Nancy berkata akta itu ialah Akta 164 Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, dan Akta 303 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. – 9 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments