Bahasa

Putrajaya tetap laksana projek diluluskan, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global, projek yang berteraskan rakyat akan diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac 2016.	Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global, projek yang berteraskan rakyat akan diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac 2016. Putrajaya tidak bercadang menghentikan mana-mana projek dan program kerajaan walaupun berdepan cabaran ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib sebaliknya berkata, program dan projek yang sudah menerima kelulusan akan diteruskan dengan keutamaan diberikan kepada program berteraskan rakyat dan projek memberi kesan pengganda tinggi kepada ekonomi. 

"Semua projek yang diumumkan kerajaan semasa pembentangan ucapan Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) antaranya pembinaan rumah mampu milik, hospital, lebuh raya dan jalan, infrastruktur kemudahan asas, utiliti, komunikasi dan pembangunan modal insan merupakan keutamaan dan akan diteruskan demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara," kata Najib semasa sesi pertanyaan soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Ar Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang meminta menteri kewangan menyatakan projek utama yang dikenal pasti berikutan cabaran ekonomi global dan pengubahsuaian bajet baru-baru ini. 

Najib berkata, pembangunan luar bandar seperti projek pertanian berskala kecil dan sederhana juga akan terus dimajukan. 

"Kerajaan juga akan memastikan segala perancangan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak dilaksanakan mengikut jadual," kata Najib 

Beliau berkata, melalui pengubahsuaian Bajet 2016 Putrajaya juga tidak berhasrat membatalkan atau mengurangkan projek yang diluluskan. 

"Namun ianya lebih kepada penyesuaian aliran tunai dengan mengagih semula peruntukan sesuatu projek atau program pembangunan. 

"Sebagai kerajaan yang prihatin, walaupun kita berdepan dengan pengurangan hasil negara ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia, kita akan memastikan perbelanjaan dibuat secara optimum serta pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi akan diteruskan," katanya. 

Najib berkata, pada 1 Mac lalu kementerian kewangan juga mengeluarkan garis panduan mengenai langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan. 

"Ia bertujuan supaya ketua-ketua jabatan di semua agensi kerajan menguruskan sumber dengan cekap serta menyusun semula keutamaan program dan projek masing-masing agar lebih berkesan dan sejajar dengan agenda nasional," katanya yang juga ahli Parlimen Pekan. 

Langkah-langkah proaktif itu juga katanya wajar dilaksanakan secara bersepadu bagi membolehkan pelaksanaan projek berjalan seperti yang dirancang. – 8 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments