Bahasa

Rahman Dahlan kesal penerima rumah PPR sewa unit kepada Pati

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata terdapat segelintir penerima PPR yang menyewakan unit mereka kepada pendatang asing tanpa izin (Pati). – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata terdapat segelintir penerima PPR yang menyewakan unit mereka kepada pendatang asing tanpa izin (Pati). – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Pemantauan sedang dilakukan bagi mengesan penerima rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan atau menjual unit mereka kepada orang lain.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau kesal dengan tindakan segelintir penerima PPR yang menyewakannya kepada pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Ada penerima PPR tidak layak menerima kemudahan itu termasuk ada yang mendapat hingga 10 unit lalu menyewakan dengan harga RM400 kepada orang lain dan ada aduan diterima unit rumah PPR turut dijual.

"Ramai yang memohon untuk mendapatkan PPR tetapi tidak berjaya tetapi ada penerima menyalahgunakan kemudahan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Tamu Pekan Baharu Sukau di Kinabatangan, hari ini.

Menurutnya, terdapat 100,000 rumah PPR di seluruh negara dan pemantauan tertumpu di kawasan Lembah Klang, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak. Rahman berkata, beliau sendiri melakukan pemantauan di PPR Putatan, Sabah 2 minggu lepas.

"Penerima PPR yang dikesan menyalahgunakan kemudahan itu akan diambil tindakan dengan kontrak sewa unit PPR dibatalkan dan diserahkan kepada pemohon yang betul-betul layak," katanya.

Menurutnya aduan lain yang diterima berhubung PPR adalah penjualan borang PPR oleh individu tidak bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan borang permohonan rumah PPR adalah percuma dan boleh diperolehi menerusi pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga mengarahkan Jabatan Perumahan Negara melakukan kajian di semua PPR di seluruh negara berhubung gejala tidak sihat itu.

Katanya, kementerian sedang mempertimbangkan supaya agensi Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara mengambil alih penyelenggaran dan pengurusan rumah PPR supaya tindakan konsisten diambil di seluruh negara. – Bernama, 13 Mac, 2016.   

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments