Pendedahan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa sejumlah RM2.67 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukanlah isu besar, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tiada salahnya seseorang menerima pemberian wang sebanyak itu asalkan mendapat kebenaran penerima dan tidak menafikan hak mereka yang patut menerimanya.
“Bagi saya kalau orang derma duit kat saya suruh jaga anda semua dan simpan atas nama saya, itu hubungan saya dengan penderma… apa salahnya.
“Kecuali orang kata, ‘Datuk saya derma duit ini untuk Umno, untuk Parlimen, untuk NGO’, saya kena ikut cakap penderma.
“Dalam isu duit (RM2.67 bilion), saya tak melihatnya sebagai isu besar… bagi saya itu budi bicara orang yang derma duit,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.
Muhyiddin dalam satu klip video yang dibocorkan ke Internet berkata Najib mengakui RM2.67 bilion dimasukkan ke akaun banknya.
Dalam video itu, Muhyiddin kelihatan sedang memberitahu tetamu di rumahnya, beliau bersemuka dengan Najib berhubung laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa didepositkan ke akan peribadi perdana menteri itu.
Dalam video itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat duduk bersebelahan Muhyiddin.
Mengulas mengenai tersiarnya video itu, Azalina berkata kesetiaan dan iltizam Muhyiddin untuk memperkukuhkan Umno selepas digugurkan daripada Kabinet boleh dipertikaikan.
“Saya rasa agak sedih, sepatutnya kalau ada masalah bincanglah, kita ini orang parti.
“Saya tidak faham, siang kata nak beri sokongan padu, malam keluar video,” katanya dipetik sebagai berkata.
Ditanya mengenai sama ada tindakan boleh diambil kepada Muhyiddin kerana dianggap mengkhianati parti, Azalina berkata tiada mana-mana ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memiliki imuniti.
“Bagi saya, sesiapa pun boleh dipecat kalau dia mengkhianati parti. Dia perlu dipecat. Saya tidak tahu lagi (sama ada Muhyiddin mengkhianati parti), tak tahu hari ini dia buat apa, esok lusa (mungkin) dia bakar bendera Umno ke, tak tahu.
“Yang saya tahu sesiapa pun termasuk saya boleh dikenakan tindakan disiplin kerana tiada imuniti sebagai timbalan presiden atau ahli majlis tertinggi,” katanya kepada akhbar itu. – 31 Julai, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments