Bahasa

Runding semula Perlembagaan jika Kelantan laksana hudud, desak NGO Sabah, Sarawak

Pengarah Program Gabungan Bertindak Malaysia, Ho Yock Lin (paling kanan) bersama pemimpin NGO lain pada sidang akhbar menyatakan pendirian mereka mengenai rang undang-undang hudud Kelantan, di Kuala Lumpur pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider, 13 April, 2015.Pengarah Program Gabungan Bertindak Malaysia, Ho Yock Lin (paling kanan) bersama pemimpin NGO lain pada sidang akhbar menyatakan pendirian mereka mengenai rang undang-undang hudud Kelantan, di Kuala Lumpur pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider, 13 April, 2015.Sebanyak 31 buah badan bukan kerajaan (NGO) dari Sabah dan Sarawak hari ini mendesak Perlembagaan Persekutuan dirundingkan semula jika Kelantan berjaya melaksanakan hudud.

Mereka mendakwa, warga Sabah dan Sarawak juga merupakan pihak berkepentingan yang sah dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 (2015) jika undang-undang berkenaan dikuatkuasakan kelak.

"Kami organisasi masyarakat awam dari Sabah dan Sarawak menggesa rundingan semula secara menyeluruh Perlembagaan jika Kelantan berkeras menguatkuasakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015).

"Ketika pembentukan Malaysia bersama Malaya dan Singapura pada 1963, Sabah dan Sarawak menandatangani persekutuan sekular, bukan teokratik, di mana sistem keadilan sesebuah agama boleh dikuatkuasakan dalam mana-mana bahagian persekutuan," kata NGO berkenaan.

Kenyataan 31 NGO itu dibacakan Pengarah Program Gabungan Bertindak Malaysia, Ho Yock Lin pada satu sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Antara NGO yang turut sama menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan ialah Suruhanjaya Pembangunan Insan Archdiocesan Kota Kinabalu, Baramkini, Belia Saint Aloysius Limbanak Sabah, Yayasan Bencana Borneo Malaysia, Institut Sumber Borneo Sarawak dan Persatuan Pengguna dan Perlindungan Sabah.

Mereka berkata, jika Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 dikuatkuasakan, rakyat Sabah dan Sarawak tidak kira agama akan menjadi mangsa dalam kejadian kecurian, rompakan, menyebabkan kematian dan kecederaan yang dilakukan orang Islam.

Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan mempunyai kompetensi penuh di Mahkamah Syariah sekiranya mereka bukan Islam, perempuan, orang Islam di bawah umur atau orang Islam yang tidak adil (tidak berkelakuan baik daripada segi agama).

“Pembunuh orang Sabah dan Sarawak mungkin terlepas hukuman mati jika pendakwaan tidak dapat mengemukakan keterangan oleh dua lelaki Islam dewasa yang 'adil'.

“Mahkamah cuma boleh mengenakan hukuman ta’zir yang tidak termasuk hukuman mati. Ini akan mengakibatkan ketidaksamarataan yang amat besar di depan undang-undang,” katanya.

Mereka berkata jika Kelantan diberikan kuasa ke atas undang-undang jenayah di bawah Artikel 76A – sama ada melalui rang undang-undang kerajaan atau rang undang-undang persendirian – ia satu bentuk pencabulan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 yang juga satu bentuk seruan untuk pemisahan.

Katanya, dengan mengelak dari keperluan untuk majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Jadual Kesembilan rang undang-undang di bawah Artikel 76A melemahkan potensi veto 57 ahli Parlimen Malaysia Timur.

“Ini bukan sahaja berpotensi melenyapkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Malaya, malah secara perlembagaannya ia akan meletakkan Sabah dan Sarawak di kedudukan yang lebih rendah berbanding salah satu negeri-negeri Malaya.

“Jika Kelantan berkeras mahu menguatkuasakan Kanun Jenayah Syariah, Malaysia perlu mempunyai Perlembagaan yang baru,” katanya.

NGO itu menyeru kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengadakan satu Sidang Kemuncak Malaysia yang dihadiri semua ahli badan penggubal undang-undang dan ahli badan eksekutif di peringkat persekutuan dan negeri untuk membincangkan susunan Perlembagaan yang baharu.

Katanya, Sabah dan Sarawak mungkin perlu diberikan hak yang lain jika Kelantan mempunyai sistem keadilan jenayahnya sendiri.

“Sabah dan Sarawak tidak akan menjadi sebahagian daripada Malaysia sekiranya undang-undang Syariah adalah sebahagian daripada perundingan,” katanya. – 13 April, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments