Bahasa

Sabah, Sarawak mungkin tuntut kemerdekaan jika Kelantan laksana hudud, kata Rahim Noor

Sabah dan Sarawak mungkin tuntut kemerdekaan dari Malaysia jika Kelantan terus mahu laksana hudud, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 April, 2015.Sabah dan Sarawak mungkin tuntut kemerdekaan dari Malaysia jika Kelantan terus mahu laksana hudud, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 April, 2015.Tan Sri Abdul Rahim Noor (gambar bawah) berpendapat Sabah dan Sarawak mungkin akan menuntut kemerdekaan sebagaimana yang dilakukan Scotland jika Kelantan berkeras mahu melaksanakan hukum hudud.

Bekas ketua polis negara itu berkata, ini disebabkan hudud tidak termasuk dalam perjanjian semasa pembentukan Malaysia walaupun PAS menjanjikan undang-undang syariah itu tidak terpakai kepada bukan Islam.

“Sebagai contoh, baru-baru ini Scotland mengadakan pungutan suara tentang usaha memerdekakan negara itu daripada pemerintahan England.

“Secara ikhlas, saya katakan jangan kita lupa butiran perbahasan yang dibentangkan semasa proses pungutan suara kemerdekaan Scotland dijalankan mungkin berlaku di negara kita kerana pihak berkenaan misalnya penduduk Sabah dan Sarawak, mereka mempersoalkan tentang perkara yang dijanjikan kepada mereka sebelum 2 negeri itu menyertai Malaysia.

“Mereka tidak dijanjikan tentang pelaksanaan hudud. Isu ini membabitkan agama. Kita tidak seharusnya lupa majoriti bumiputera di Sabah dan Sarawak beragama Kristian,” katanya menerusi wawancara bersama akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Rahim berkata menjadi kebimbangannya pada hari ini berdepan dengan pemikiran berteraskan hak asasi manusia yang semakin melebar sehingga berupaya menghakis segala perkara yang disepakati selama ini.

Katanya, penduduk di Sabah dan Sarawak turut mengalami gelombang hak asasi manusia bukan saja di bandar besar malah di kawasan pedalaman.

“Maklumat kini bergerak pantas dan dapat dibaca melalui telefon pintar. Malah, sewaktu rundingan sebelum penubuhan Malaysia, ada pemimpin Sabah dan Sarawak yang tidak mahu Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan.

“Pada masa itu lagi mereka sudah bersikap sensitif tentang isu itu. Mereka bimbang dianaktirikan daripada segi agama. Saya bimbang hari demi hari perkara yang bergolak seperti ini akan menimbulkan kesangsian dalam kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Apabila situasi ini berlaku, akan timbul isu menyentuh integriti, keselamatan dan keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan,” katanya kepada akhbar milik Umno itu.

Beliau berkata sebelum hudud dapat dilaksanakan, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut semua orang mempunyai hak sama dan berhak mendapat perlindungan sama rata di bawah undang-undang perlu dilihat terlebih dulu.

Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang kaum dan agama maka sekiranya hudud dilaksanakan, akan timbul isu sensitif yang menyentuh pegangan agama rakyat yang berlainan.

“Saya mengambil contoh satu kes mencuri yang dilakukan 2 penjenayah berbeza agama. Seorang daripadanya beragama Islam manakala seorang lagi bukan Islam.

“Tertuduh yang beragama Islam akan didakwa di bawah undang-undang hudud. Jika ditentukan hudud tidak dipakai untuk bukan Islam, sudah pasti rakannya yang bukan Islam itu akan dituduh di bawah undang-undang sivil iaitu Kanun Keseksaan.

“Kita tahu apa hukumnya jika kes mencuri di bawah hudud dan di bawah Kanun Keseksaan. Orang Islam yang mencuri itu akan dipotong tangannya sedangkan rakannya mungkin hanya didenda atau dipenjara beberapa hari,” katanya.

Rahim berkata senario itu tidak menggambarkan 2 rakyat Malaysia yang tertakluk di bawah satu undang-undang yang sama mengenai jenayah mencuri.

Katanya, banyak contoh lagi kes jenayah dalam negara seperti pemerkosaan atau bersekedudukan yang melibatkan orang Islam dan penganut agama lain.

“Sudah tentu timbul keadaan yang menyalahi semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Apa ertinya isu ini bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia? Bagi saya, konflik seperti ini hanya boleh menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat,” katanya. – 6 April, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments