Bimbang dengan peningkatan kes denggi di Malaysia sejak 2 tahun kebelakangan ini, pasukan penyelidik dari Universiti Malaya diketuai Prof Madya Dr Chong Wen Tong mencipta lampu jalan yang mengeluarkan “bauan manusia” bagi mengumpan nyamuk menjauhi orang ramai.
Ciptaan yang dimulakan sejak 3 tahun lalu itu dinamakan "Eco-Greenergy Self-Sustained Outdoor Lighting with Mosquito Trap and Flood Emergency Warning Transmission System" dan prototaip pertama siap 20 bulan lepas.
"Perangkap nyamuk itu berfungsi menarik perhatian nyamuk seperti cahaya UV (ultraviolet). Nyamuk tertarik dengan cahaya, haba atau suhu hangat seperti badan manusia dan kami melapisinya dengan bahan kimia khas.
"Apabila cahaya UV berhubung (interact) dengan bahan kimia khas ini, ia akan melepaskan sejumlah kecil CO2 supaya ia dapat mengumpan nyamuk berkenaan dengan penghasilan bau yang dilepaskan badan kita ketika bernafas," kata Chong kepada The Malaysian Insider.
"Reka bentuk tiang lampu ini berbeza dengan tiang lampu yang anda biasa lihat. Ia berdiri dengan sendiri menggunakan tenaga angin dan solar," katanya kepada The Malaysian Insider.
Menurut Chong, bauan manusia yang dicipta dengan kerjasama Fakulti Perubatan UM itu buat masa ini tidak dapat didedahkan, namun memberitahu ia merupakan bahan kimia khas yang menarik perhatian nyamuk seperti suhu badan dan bau manusia.
Bagaimanapun katanya, bauan itu juga bergantung kepada jenis nyamuk.
"Kami masih bekerjasama dengan profesor daripada Jabatan Parasitologi untuk menilai keberkesanan tersebut. Buat masa ini paling efektif ialah untuk menarik perhatian nyamuk Aedes," katanya.
Chong dan ciptaannya disiarkan di akhbar United Kingdom, The Guardian bulan lepas, ketika peningkatan kes denggi semakin membimbangkan di Malaysia.
Pada 2015, peningkatan sebanyak 11.2% dalam kes denggi di seluruh negara berbanding tahun sebelumnya.
Pada 2015, sebanyak 120,836 dicatatkan berbanding 108,698 pada 2014.
Chong berkata reka bentuk tiang lampunya berbeza dengan tiang lampu yang biasa dilihat.
"Ia berdiri dengan sendiri menggunakan tenaga angin dan solar," katanya.
Menurut Chong, bahagian penyimpan elektronik bateri yang digunakan juga diletakkan di bahagian atas tiang lampu itu supaya lubang kosong pada tiang lampu boleh memasang perangkap nyamuk.
Selain memerangkap nyamuk, ia juga boleh berfungsi di zon banjir, dengan pendawaian elektrik dan pengawal baterinya diletakan di atas tiang lampu.
"Bateri atau penyimpanan, sistem pendawaian dan alat pengawalan dilekatkan berhampiran bahagian lampu, dan ia masih boleh berfungsi walaupun paras banjir meningkat kira-kira 4 meter (bergantung kepada ketinggian tiang).
"Manakala, sensor boleh disepadukan dan disembunyikan di dalam lubang tiang (untuk mencegah vandalisme), untuk mengesan paras air ketika banjir dan menghantar isyarat amaran untuk mencari dan pusat penyelamat.
"Lebihan kuasa juga boleh digunakan untuk memerangkap nyamuk yang boleh disepadukan ke tiang lampu berkenaan," katanya.
Ujian perintis lampu itu kini dilakukan di kampus utama UM.
"Tiang lampu itu sudah sedia untuk dikomersialkan. Kami boleh menghantar keseluruhan prototaip dalam masa 60 hari atau 2 bulan," katanya yang berhajat untuk mengkomersialkannya ke luar negara.
Projek ini ialah pemenang terbaik dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) dan memenangi pingat emas.
Beliau berkata, apa yang penting ialah sesuatu produk rekaan itu dapat membantu orang ramai dan masyarakat.
Chong selalu memberitahu pasukannya sesuatu rekaan itu akan menjadi berharga sekiranya ia membawa kebaikan dan dapat menyelesaikan masalah masyarakat.
"Contohnya seperti hari ini, semua orang bimbangkan denggi dan virus Zika, dan kini kita boleh hasilkan perangkap nyamuk, walaupun tidak menyelesaikan masalah secara keseluruhannya tetapi ia dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 30% hingga 50%. Ia memberi banyak perbezaan kepada orang ramai," katanya.
Chong memberitahu beliau memperolehi dana penyelidikan UM, Kementerian Pengajian Tinggi dan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) untuk menyiapkan projek ini. – 28 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments