Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memberi peluang kepada negeri berkenaan untuk turut menikmati pembangunan dan kemajuan seperti terdapat di Semenanjung Malaysia.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata dalam kalangan 6 perdana menteri setakat ini, Najib yang paling prihatin dan komited terhadap kesejahteraan Sarawak.
"Kami amat berterima kasih kepada beliau dalam hal ini," katanya pada majlis pelancaran fasa ketiga projek Lebuhraya Pan Borneo oleh Najib, di Serian hari ini.
Lebuh raya bernilai RM1.46 bilion itu bermula dari bulatan Bandar Serian sehingga ke persimpangan Pantu, meliputi jarak 75 kilometer.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Adenan berkata sejak menjadi perdana menteri pada 2009, Najib membawa banyak projek besar bernilai berbilion ringgit ke Sarawak.
Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu amat penting serta tepat pada masanya kerana ia boleh membantu mengembangkan ekonomi Sarawak seperti yang dibawa Lebuhraya Utara-Selatan kepada negeri yang direntasinya.
Adenan memberi jaminan bahawa kontraktor tempatan terutama syarikat Bumiputera akan diberi keutamaan dalam pelbagai kerja utama pembinaan lebuh raya itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Bidayuh kerana keluar beramai-ramai menghadiri majlis itu, dan menyifatkan sebagai perhimpunan terbesar mereka yang pernah beliau saksikan, setakat ini.
Katanya kerajaan negeri memutuskan untuk menaikkan taraf daerah Serian kepada taraf Bahagian tahun lepas, sebagai pengiktirafan terhadap saiz dan perpaduan masyarakatnya.
Beliau berkata daripada 82 kerusi yang bakal ditandingi Barisan Nasional pada pilihan raya Sarawak ke-11 akan datang, 2 lagi akan diperuntukkan secara khusus kepada masyarakat Bidayuh untuk menjadikan 7 kesemuanya. – Bernama, 13 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments