Bahasa

Saya bukan pembelot, kata Shafie

Datuk Seri Shafie Apdal berkata skandal kewangan negara menyebabkan rakyat memandang hina kepada Umno dan menjejaskan imej negara di mata dunia. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 5 Mac, 2016.Datuk Seri Shafie Apdal berkata skandal kewangan negara menyebabkan rakyat memandang hina kepada Umno dan menjejaskan imej negara di mata dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Mac, 2016.Tindakan menandatangani Deklarasi Rakyat bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dianggap sebagai pembelot parti, kata Datuk Seri Shafie Apdal hari ini.

Naib presiden Umno itu sebaliknya berkata, beliau hanya mahu melihat imej parti dipulihkan semula selepas ia tercalar akibat skandal kewangan yang terpalit dengan Najib, yang juga presiden parti.

"Bukan bererti kita bertanya ini kita dianggap sebagai pembelot kepada parti.

"Kita mahu pastikan parti jauh lebih kuat untuk membuatkan keyakinan rakyat kepada kita dipertingkatkan," katanya semasa melawat ke kawasan Parlimennya hari ini di Semporna, Sabah.

Shafie merupakan salah seorang pemimpin Umno yang menandatangani deklarasi semalam selain bekas timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, isu-isu besar yang dibangkitkan seperti firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun Najib menyebabkan rakyat memandang hina kepada Umno dan pada masa sama, menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Kalau kita tidak tangani perkara dan isu ini, ia bukan saja merosakkan imej kita di mata, telinga rakyat tetapi juga di peringkat antarabangsa yang pada hari ini kita semua maklum.

"Masalah ini perlu ada penyelesaian segera," katanya.

Menurut Shafie, tidak timbul isu mengatakan Dr Mahathir ketika ini sudah mengikut telunjuk pembangkang kerana program semalam adalah anjuran bekas perdana menteri itu sendiri.

"Bukan dia mengikut pembangkang, tetapi dia menganjurkan dan pembangkang ikut.

"Dia penganjur. Bukan pembangkang yang anjur. Tak tahu macam mana mereka boleh kata itu anjuran pembangkang," katanya lagi.

Shafie berkata, langkah mendesak pengunduran Najib tidak wajar dipertikaikan, malah Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga sebelum ini didesak supaya berundur.

"Bagi saya, tidak perlu perlu gelar mana-mana pemimpin sebagai pembelot, mereka ada hak untuk melakukannya.

"Kalau kita anggap ini satu demokrasi, mereka berhak nyatakan pandangan. Dia (Dr Mahathir) bukan minta kerajaan dihapuskan atau dijatuhkan, dia cuma minta perdana menteri berundur.

"Ia sama seperti dulu kita minta Dr Mahathir berundur, sama seperti dulu kita minta Abdullah (Tun Abdullah) berundur," katanya.

Dr Mahathir semalam melancarkan Deklarasi Rakyat bagi meneruskan desakan supaya Najib berundur, gerakan yang disertai pemimpin politik pelbagai latar belakang dan pemimpin badan bukan kerajaan termasuk peguam hak asasi manusia Datuk Ambiga Sreevanesan dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Tindakan Muhyiddin dan Shafie tersebut menimbulkan kontroversi dan menyebabkan mereka dikritik hebat pemimpin Umno yang menyifatkan ia mengkhianati parti.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin dan Shafie dijangka berdepan tindakan tegas ekoran penglibatan mereka dalam program yang diadakan di Petaling Jaya itu semalam. – 5 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments