Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hari ini, beliau menghargai kesetiaan lebih daripada "kecerdikan", beberapa hari selepas memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.
Presiden Umno itu berkata, ramai orang "menganggap diri mereka berkaliber".
"Tetapi jarang kita jumpa mereka yang ada kesetiaan. Orang yang cerdik, ramai," katanya.
"Tetapi bila saya kata setia, saya tak bermaksud setia membuta tuli," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Seremban di Paroi.
Muhyiddin, yang masih timbalan presiden Umno, disingkirkan dari Kabinet selepas bertindak mengkritik pengendalian Najib dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau juga berkata, sebuah kapal hanya boleh mempunyai "satu nakhoda".
"Saya takda masalah dengan kritikan dan perbezaan pendapat, tetapi ia mesti dilakukan dalam satu forum tertutup. Kalau bertengkar pun takpa, asalkan jangan sampai baling kerusi antara satu sama lain ," kata beliau.
"Nak hentak meja pun boleh, tetapi jangan lakukannya di luar, ia meruntuhkan imej parti."
Beliau berkata, pembangkang sangat arif mengenai perkara ini, merujuk kepada penyokong pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Mereka ada semua jenis pemimpin. Ada yang ditangkap dalam video, tetapi mereka masih mempertahankan pemimpin mereka. Mengapa? Kerana mereka tahu mereka mesti bersatu," katanya.
Sementara itu, pemimpin peringkat negeri Datuk Dr Puad Mohd Zarkashi berkata, Umno Johor dijangka menyokong Najib walaupun selepas pemecatan bekas timbalan perdana menteri itu, walaupun Muhyiddin dilihat mempunyai sokongan yang kuat di negeri itu.
"Saya tidak fikir ini akan mempunyai kesan yang besar. Umno Johor sudah biasa dengan perkara ini. Dulu Tan Sri Shahrir Samad pun letak jawatan kerana perbezaan pendapat," katanya. – 1 Ogos, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments