Berdepan gesaan dari pemimpin Umno negeri supaya tempatnya sebagai menteri besar Kedah diganti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata hari ini, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan bagi mewajarkan parti mengambil sebarang tindakan disiplin terhadapnya.
"Saya tak rasa saya ada buat sebarang kesalahan," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang petang ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada merasa bimbang jika tindakan disiplin akan diambil terhadapnya.
Mukhriz, yang tiba dari Pulau Pinang pada kira-kira pukul 6 petang ini, disambut kira-kira 30 penyokong di lapangan terbang itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau akan meminta tindakan disiplin diambil terhadap pihak yang menyeru agar beliau berundur.
"Tiada sebarang rancangan lagi, cuma tunggu dan lihat," katanya.
Anak bongsu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Terdahulu petang ini, Najib mengadakan pertemuan dengan ketua Umno bahagian yang tidak berpuas dengan Mukhriz membincangkan pemberontakan mereka terhadap menteri besar itu.
Perdana menteri bertemu mereka kira-kira 40 minit di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Pimpinan negeri, yang selepas sesi dengan Najib meneruskan mesyuarat mereka sendiri itu, bagaimanapun, membisu mengenai apa yang dibincangkan atau sebarang hasil daripada pertemuan itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Rabu mengetuai 14 daripada 15 ketua bahagian di negeri itu menyeru penyingkiran Mukhriz, menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Di kalangan penyokong Mukhriz hari ini adalah ahli Ansara, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), yang memegang kain rentang menyatakan sokongan mereka kepadanya selaku salah seorang alumni MRSM. – 22 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments