Bahasa

Saya tidak gentar ugutan Isis, kata Hishammuddin

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata ugutan Isis menculik pemimpin jelas menunjukkan ia semakin terdesak kerana segala perancangan jahat mereka di negara ini berjaya dipatahkan pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac, 2016.Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata ugutan Isis menculik pemimpin jelas menunjukkan ia semakin terdesak kerana segala perancangan jahat mereka di negara ini berjaya dipatahkan pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac, 2016.Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini berkata beliau tidak takut dengan cubaan kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis) untuk menculik beliau, tahun lalu, bagaimanapun ugutan kumpulan pengganas itu tidak boleh dipandang ringan.

"Saya tidak gentar, ia bukan kerana diri saya (untuk diculik), tetapi kerana jawatan yang saya pegang.

"Apapun saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri lain terjamin," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Beliau mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat hari ini yang menyatakan pasukan keselamatan negara berjaya mengekang serta menggagalkan beberapa rancangan serangan keganasan Isis dan cubaan menculik pemimpin negara termasuk perdana menteri.

Zahid berkata selain perdana menteri, turut menjadi sasaran ialah beliau sendiri dan Hishammuddin.

Selain penculikan, kumpulan Isis turut merancang serangan ke atas rumah ibadat, tempat tumpuan ramai, merompak senjata api daripada kem tentera dan rompakan wang tunai yang dipercayai bagi dijadikan dana untuk kegiatan mereka.

Menjelas lanjut, Hishamuddin berkata tindakan Isis itu jelas menunjukkan ia semakin terdesak kerana segala perancangan jahat mereka di negara ini berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

"Selagi dia buat perancangan macam itu, selagi itu kita bersemangat untuk menghalang mereka," katanya.

Hishamuddin turut memberi jaminan semua kem tentera terutama yang mempunyai stor senjata dikawal rapi bagi memastikan ia tidak dibolosi pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pihak keselamatan  negara luar termasuk daripada aspek risikan mengenai keselamatan di negara masing-masing.

Terdahulu, Hishamuddin pada majlis berasingan di Lumut,  mengumumkan 2 blok apartmen Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM itu akan ditambah baik, melibatkan peruntukan RM22.5 juta.

Beliau berkata pembaikan itu dijadual bermula pada Mei dan siap pada hujung tahun ini. – Bernama, 8 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments