Bahasa

Sekolah menengah agama negeri dan rakyat akan diperkasa, kata Asyraf

Negara memerlukan lebih ramai mereka yang kebolehpasaran dalam pelbagai bidang profesional dan memiliki jiwa pemikiran Islam yang jelas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Negara memerlukan lebih ramai mereka yang kebolehpasaran dalam pelbagai bidang profesional dan memiliki jiwa pemikiran Islam yang jelas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) di seluruh negara akan diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang yang memiliki jiwa Islam tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) akan memainkan peranan bagi mencapai matlamat itu.

"Selain meningkatkan sistem pelajaran dan pendidikan agama Islam di sekolah itu, Jakim dan Lepai akan melatih guru di sekolah tersebut bagi memupuk pemikiran pelajar yang tidak hanya melihat subjek agama sekadar menjadi ustaz dan alim ulama tetapi menjadi tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, perbankan, perundangan dan ekonomi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Multaqa Pengetua SMAN dan SMAR Peringkat Kebangsaan 2016 di Kota Baru, malam tadi.

Asyraf berkata negara ini memerlukan lebih ramai mereka yang kebolehpasaran dalam pelbagai bidang profesional dan memiliki jiwa pemikiran Islam yang jelas.

Beliau berkata kini terdapat 168 SMAN dan SMAR di seluruh negara dengan jumlah pelajar seramai 64,769 orang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha ketika berucap pada majlis itu, berkata multaqa tersebut yang menghimpunkan semua pengetua sekolah berkenaan bertujuan memberi pendedahan berkenaan isu semasa pendidikan negara.

SMAN adalah sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri, manakala SMAR dikendalikan individu atau pihak tertentu. – Bernama, 13 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments