Selepas dakwaan mengikut Akta Hasutan 1948 ke atas pensyarah undang-undang Prof Madya Dr Azmi Sharom dibatalkan hari ini, Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menggesa peguam negara menggugurkan semua pertuduhan berkaitan akta tersebut.
Selain itu, ia juga mengulangi tuntutan mereka selama ini supaya akta itu dimansuhkan, kata Penyelaras GHAH Amir Abdul Hadi.
"GHAH juga berharap agar semua tuduhan hasutan lain turut dikaji semula serta digugurkan sama sekali.
"Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata antara sebab pengguguran pertuduhan ini adalah 'demi menegakkan keadilan'.
"Adalah tidak adil sekiranya pertuduhan lain, yang juga dibuat secara tidak adil, serta bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara yang dijamin di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan diteruskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Apandi membatalkan pendakwaan terhadap Azmi yang pernah memfailkan saman mencabar undang-undang yang disifatkan bertentangan dengan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Apandi, keputusan menarik kembali pendakwaan itu dilakukan atas budi bicara dan ia bukan pertama kali peguam negara bertindak demikian kerana melakukan perkara sama dalam kes ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok.
Amir berkata, Apandi seharusnya menyemak semula semua pertuduhan Akta Hasutan kerana katanya majoriti yang didakwa adalah berkaitan kesalahan mengkritik kerajaan.
Sedangkan, pindaan yang dibuat kepada Akta Hasutan pada 10 April 2015 memotong keluar perenggan 3(1)(c), menjadikan kritikan terhadap kerajaan bukan lagi satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.
"Majoriti kepada kes hasutan terdahulu ialah berkenaan dengan kritikan ke atas kerajaan. Peguam negara seharusnya turut mempertimbangkan untuk menggugurkan kes-kes tersebut," katanya.
Tambahnya, Apandi juga tidak wajar menjadikan pengguguran pertuduhan Azmi sebagai publisiti untuk beliau menutup kontroversi dalam arahannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Peguam negara tidak seharusnya menjadikan pengguguran pertuduhan ini sebagai publisiti untuk beliau menutup kontroversi bersama SPRM berkaitan kes derma perdana menteri.
"Beliau mesti menunjukkan kepada rakyat beliau benar-benar ikhlas dalam usaha mereformasi sistem perundangan di Malaysia," katanya. – 12 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments