Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu melihat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan krisis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap pentadbirannya dan bukan sekadar cakap saja.
Timbalan presiden Umno yang juga pengkritik lantang Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion itu mengharapkan perdana menteri akan mengambil langkah sebaiknya untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan beliau.
"Baguslah presiden berbesar hati, jadi selepas ini saya nak lihat langkah yang akan dibuat untuk selesaikan masalah yang saya bangkitkan," kata Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas ucapan penggulungan presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Terdahulu sebelum ucapan penggulungan, Muhyiddin berkata tidak akan memohon maaf kerana tindakannya mengkritik Najib adalah untuk menegakkan kebenaran.
Muhyiddin mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam yang mengatakan beliau bersama seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal masih berkesempatan untuk meminta maaf kepada Najib.
Timbalan presiden Umno itu berkata tidak mempunyai sebab untuk memohon maaf kerana apa yang dibangkitkan adalah soal kepentingan parti dan kepimpinan.
Muhyiddin menyifatkan kritikan yang diutarakan oleh beliau adalah masalah rakyat yang perlukan penjelasan dan selagi tidak dibetulkan ia akan menimbulkan syak wasangka terhadapnya.
"Bukan itu masalah saya tapi masalah rakyat supaya rakyat rasa yakin percaya apa yang beliau sebut itu akan dia betulkan dan tiada syak wasangka yang menyebabkan kita hadapi masalah dan kurang keyakinan pada kerajaan dan parti," katanya.
Beliau menegaskan teguran yang dibuat bukan berbentuk soal peribadi tapi lebih demi perjuangan parti.
"Ini soal prinsip perjuangan. Kalau ada apa-apa perkara kita sama-sama betulkan.
"Kalau ada kelemahan kita buat teguran. Ini bukan soal peribadi," katanya.
Najib semasa akhir ucapan penutup perhimpunan agung Umno hari ini menghulurkan tangan untuk bersalam dengan pengkritiknya Muhyidin yang disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan yang hadir dalam Dewan Merdeka, PWTC.
Najib mengingatkan perwakilan dan pucuk pimpinan tidak guna berterusan bermusuh yang kelak hanya akan menguntungkan pihak lawan.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan hubungannya dengan presiden parti masih terjalin dan tetap utuh seperti sebelum ini.
Shafie berkata tiada pertelingkahan berlaku antara beliau dengan perdana menteri sehingga boleh melupuskan hubungan persahabatan yang terbina sejak sekian lama. – 12 Disember, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments