Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan sentimen rakyat untuk berdemonstrasi kini tidak lagi tinggi, meskipun terdapat perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan.
Beliau berkata rakyat kini bersikap rasional dan memikirkan jangka masa panjang negara.
"Pada zaman demonstrasi untuk (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim - semasa dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998), rakyat cenderung untuk menyertai, lama-lama kemudian ia berkurangan.
"Begitu juga dalam hal demonstrasi lain seperti oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) dari tahun 2008-2013. Selepas 2013, rakyat sudah tidak berminat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Aidilftri D'Mewah 2015 di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Mewah, di Johor Baru, hari ini.
Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penganjuran demonstrasi Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada bulan ini.
"Pada akhir bulan ini, kalau ada demonstrasi yang mengguna kaedah langgar undang-undang dan tidak berunding dengan polis, kita jangan ikut kerana saya takut ia menjadi demonstrasi yang boleh menganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.
Nur Jazlan berkata penganjur perlu mengadakan rundingan dengan polis, sekiranya ingin mengadakan demonstrasi.
"Ia penting supaya kaedah demontrasi tidak melanggar undang-undang. Malaysia merupakan negara majmuk, banyak sensitiviti yang timbul daripada berbilang kaum dan agama, boleh tercetus dalam sekelip mata," katanya.
Pada majlis itu, Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai turut melancarkan kempen pengasingan sisa di punca dan program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) bagi menangani ancaman denggi. – Bernama, 15 Ogos, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments