Tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk sepentas dengan Datuk Seri Najib Razak bukan bermakna PAS akan bergabung dengan Umno sebagai satu parti, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sebaliknya, timbalan presiden PAS itu berkata ia adalah petanda kebesaran jiwa Hadi dan parti Islam itu yang sentiasa berlapang dada untuk membincangkan isu melangkaui parti.
"Kesediaan presiden PAS berada sepentas atau mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan adalah jiwa besar yang seharusnya menjadi kebanggaan seluruh ahli parti.
"Ini tentunya akan menyempitkan dada mereka yang sentiasa sakit hati dengan dasar dan perjuangan PAS khususnya mereka yang melihat sepentas ini bermakna ia akan menjadi separti atau akan menjadi satu parti.
"Kita tidak perlu menghabiskan masa melayani kumpulan tersebut kerana dasar dan perjuangan kita tiada kena mengena dengan mereka," katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.
Menurutnya, PAS juga akan terus konsisten membincangkan dan berdepan dengan isu negara.
"PAS akan terus istiqamah di atas dasar Islam dan bersedia untuk terus duduk semeja dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan isu negara melangkaui sempadan parti politik.
"Sebagai sebuah parti yang besar kita mesti mempunyai jiwa besar bagi menghadapi isu besar ummah dan negara," katanya.
Pada masa sama menurut Tuan Ibrahim, isu duduk sepentas itu tidak perlu diperbesar-besarkan kerana ia juga pernah dilakukan presiden-presiden PAS terdahulu.
"Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berada sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membicarakan isu Palestin.
"Nik Aziz juga pernah berada sepentas dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pelancaran Eastern Corridor Economic Region (Ecer) dan kini presiden berada pentas dengan Datuk Seri Najib Razak atas isu perpaduan umah" katanya.
Perbincangan perpaduan di antara PAS dan Umno kembali rancak selepas Najib dan Hadi duduk sepentas memakai baju Melayu sedondon pada perasmian pembukaan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 17 Disember lalu.
Najib dalam ucapannya turut menghulurkan salam perpaduan dengan memetik beberapa potong ayat al-Quran yang menyeru PAS bekerjasama dengan Umno. – 19 Disember, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments