Akhbar Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan samada Tun Dr Mahathir Mohamad atau Lim Kit Siang yang akan meraih untung besar dan dipergunakan dalam Deklarasi Rakyat dilancarkan baru-baru ini.
Walaupun deklarasi itu turut disokong pemimpin pembangkang yang lain, menerusi ruangan pojok akhbar milik Umno edisi Ahad, Mingguan Malaysia, Awang Selamat, memilih membuat perbandingan di antara Dr Mahathir dan ketua Parlimen DAP itu.
Menurut Awang Selamat, selepas lebih seminggu deklarasi Dr Mahathir-pembangkang, reaksi orang ramai kelihatan hambar.
“Sama keadaannya apabila Mahathir menghadiri perhimpunan Bersih dikuasai DAP 2 hari berturut-turut tahun lalu, tidak memberi apa-apa kesan.
“Maknanya, masyarakat umum terutamanya orang Melayu tidak dapat menerima hakikat Dr Mahathir bersekutu dengan DAP dan penasihatnya, Lim Kit Siang,” katanya.
Awang Selamat menambah, beberapa laporan dalam media berbahasa Cina turut memberikan analisis yang suram dan skeptikal terhadap hala tuju Deklarasi Rakyat.
“Nampaknya, masyarakat Cina tidak teruja. Banyak badan bukan kerajaan (NGO) juga membantah. Pembangkang tidak bulat hati.
"Ketuanya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail walaupun menyokong deklarasi, namun sinikal – ‘Mahathirlah yang lemah, perlukan pembangkang,’ katanya bagai ada yang terbuku di hati,” kata Awang Selamat.
Awang Selamat dalam tulisannya kemudian bercerita tentang Lim berhubung keengganannya menjawab pertanyaan sama ada beliau mempercayai Dr Mahathir berikutan situasi kedua-dua pemimpin yang saling bermusuhan itu, kini bersatu.
“Tidak sukar untuk ramal apa isi hatinya menyentuh (Dr) Mahathir. Sejarah permusuhan politik mereka paling panjang dan perit. Kedua-duanya berjaya menjadikan musuh mereka kelihatan jijik di kaca mata ahli parti dan penyokong.
“Keengganan untuk menjawab pertanyaan itu sudah boleh ditafsir Kit Siang tidak mungkin mempercayai Mahathir sampai bila-bila. Kalau mantan perdana menteri itu menyertai DAP sekalipun, beliau tetap dicurigai.
“Mahathir pula sinonim dengan imej matlamat menghalalkan cara, yang kit Siang pasti waspada.
“Maka Awang teruja untuk melihat siapa yang lebih dipergunakan dan siapa akhirnya meraih untung besar – Mahathir atau Kit Siang?” soalnya. – 13 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments