Selepas video kontroversi Tahun Baru Cina berbentuk sindiran 2 tahun lalu, ahli Parlimen DAP Teresa Kok kali ini mengeluarkan klip video terbaru namun tidak menyelitkan sebarang sindiran.
Klip video yang berdurasi 19 saat di laman Facebook, ahli Parlimen Seputeh itu menggesa rakyat untuk bersatu dalam memerangi kejahatan.
"Perpaduan adalah kekuatan. Bersatulah dalam memperjuangkan yang baik dan menentang kejahatan.
"Mari kita jadikan tahun Monyet ini yang baik untuk negara dan semua rakyat Malaysia," tulisnya di laman Facebook beserta dengan klip video tersebut.
Dalam video itu, Kok - disertai ahli pasukannya yang berpakaian tradisional Cina - dilihat memberikan ucapan yang singkat dan mempunyai maksud tersirat dalam bahasa Mandarin dengan sarikata dalam Bahasa Malaysia yang berbunyi: "Selagi kita bersatu padu, rakyat biasa pun boleh menewaskan kuasa yang paling jahat."
Apabila ditanya mengapa klip video beliau kali ini pendek, katanya ini kerana beliau sibuk dengan pilihan raya Sarawak.
"Tahun ini rakan-rakan saya dan saya memutuskan mengeluarkan rakaman video pendek dengan mesej yang mudah, iaitu, perpaduan adalah kekuatan dan semua orang perlu bersatu untuk berjuang untuk yang baik dan menentang kejahatan supaya tahun Monyet menjadi tahun yang baik buat semua rakyat Malaysia.
"Saya agak sibuk dengan kempen pilihan raya Sarawak, perlu menyalurkan tenaga saya dalam isu yang lebih penting," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu mesej WhatsApp.
Pada 6 Mei 2014, beliau didakwa mengikut Akta Hasutan ekoran kontroversi video sindiran Tahun Baru Cina berdurasi 11 minit bertajuk "Onederful Malaysia CNY 2014".
Video itu mencetuskan kekecohan di kalangan penyokong kerajaan dan menganggap ia sebagai satu penghinaan kepada Malaysia dan pemimpinnya.
Beliau dituduh menghina kaum Melayu, pasukan keselamatan, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam video tersebut.
Walaupun dijelaskan Kok tidak menghina sesiapa, beliau dikritik hebat dan menerima lebih 300 laporan polis terhadapnya.
Di samping itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Kuala Lumpur mengadakan bantahan, menyembelih 2 ekor ayam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Kok sebagai tanda kemarahan mereka terhadap pemimpin Pakatan Rakyat itu kerana didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.
Namun, November lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memerintahkan pertuduhan terhadap ahli Parlimen Seputeh itu digugurkan. – 6 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments