Bahasa

SPR patut terus siasat dakwaan belanja PRU13 RM1.5 bilion, kata DAP

Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan segera menyiasat dakwaan BN membelanjakan RM1.5 bilion dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.  Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan segera menyiasat dakwaan BN membelanjakan RM1.5 bilion dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya sudah boleh memulakan siasatan atas dakwaan Barisan Nasional (BN) membelanjakan RM1.5 bilion dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan bekas menteri besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir yang membuat dakwaan itu dan kemudian dipertahankan Menteri Besar Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Teoh berkata demikian hari ini ketika menyerahkan surat menggesa siasatan dakwaan itu dijalankan di pejabat Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

"Sebenarnya kita berharap dengan adanya pengerusi baharu, mereka harus memberi respons secepat mungkin atau 12 hari selepas menteri besar Kedah dan ketua menteri Melaka mengaku memang ada RM1.5 bilion dibelanjakan.

"SPR patut melakukannya tetapi sampai sekarang kami tidak nampak ada tindakan selanjutnya dilakukan mana-mana pihak seolah-olah ini bukan perkara yang perlu diambil perhatian," kata Teoh pada sidang media ringkas di pejabat SPR di Putrajaya.

Teoh bersama Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik pagi ini menerusi surat rasmi mereka menggesa SPR menyiasat perbelanjaan RM1.5 bilion itu yang didakwa menyalahi Seksyen 19(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Akta tersebut menetapkan perbelanjaan maksimum seorang calon pilihan raya kerusi Parlimen tidak boleh melebihi RM200,000 sementara perbelanjaan maksimum seorang calon kerusi Dewan Undangan Negeri pula tidak boleh melebihi RM100,000.

Sehubungan itu, Teoh dan Ng mendakwa jumlah RM1.5 bilion yang diakui Mukhriz dibelanjakan dalam PRU13 adalah 15 kali ganda lebih tinggi daripada jumlah dibenarkan.

Mereka menggesa SPR membatalkan kemenangan semua calon BN dan menyiasat semua calon BN kerana didakwa membuat kenyataan bersumpah palsu berkenaan perjalanan kempen mereka.

"Kami menaruh harapan terhadap Datuk Seri (Hashim) selaku pengerusi SPR yang baharu untuk bertindak adil terhadap aduan kami dan mengarahkan siasatan dilakukan serta-merta, supaya kewibawaan SPR dapat dipulihkan dalam hati rakyat melalui kepimpinan SPR yang baharu," kata mereka dipetik daripada surat rasmi berkenaan.

Surat tersebut diterima pegawai khas kepada pengerusi SPR, Mohd Shukur Khalid. – 14 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments