Seorang graduan jurusan undang-undang yang hanya dikenali sebagai Zahra menceritakan pergelutan kewangan dirinya dan rakan-rakan seusianya menempuh liku-liku kehidupan di hadapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi viral di laman media sosial sejak beberapa hari lalu.
Video berdurasi 6 minit yang dimuat naik oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di laman Facebook itu menerima 34,073 "Like" dan 453,217 kali dikongsi pengguna media sosial. Ia memaparkan gadis berusia 26 tahun menceritakan kehidupan yang sedang dilaluinya sekarang bukanlah kehidupan diimpikan ketika menuntut di institusi pengajian tinggi.
"Kami bukan bersendirian kerana ramai yang terseksa. Sudah tidak nampak jalan keluar, masa depan amatlah kelam dan kelabut. Kami anak Melayu sudah tidak hiraukan isu politik dan perkauman kerana apa yang lebih penting bagi kami adalah isu survival," kata Zahra, dipetik daripada video tersebut.
“Saya sering tertanya-tanya, jika orang berpendidikan tinggi seperti saya boleh sebegini miskin, apakah harapan buat rakyat Malaysia yang lain, yang tak ke menara gading atau bukan dari keluarga berada," katanya dalam program anjuran MTEM pada 17 Jun lalu.
Zahra turut menceritakan bagaimana dia terpaksa menggunakan kenderaan milik keluarganya dengan bayaran RM500 sebulan untuk berulang alik ke pejabat serta kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri.
"Untuk membeli rumah di kawasan Melawati atau Ampang, memerlukan pendapatan minima RM9,000 sebulan, mampukah saya?" katanya.
Malah, Zahra berkata, dia juga terpaksa menabung sekurang-kurangnya 5 hingga 7 tahun untuk menyediakan deposit 10% untuk memiliki rumah.
Zara turut memberitahu tiada pilihan lain selain menyewa sebuah rumah dengan lapan orang yang lain demi menampung bayaran RM500.
“Banyak rumah masih kosong, tetapi ia bukan untuk graduan seperti saya. Jadi rumah yang mahal-mahal itu untuk siapa?” katanya.
“Mungkin saya perlu berkahwin dengan lelaki kaya untuk keluar daripada kemelut sosial ini? Kedengaran melucukan tapi ia realiti,” kata Zahra.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Mohd Nizam Mahshar (gambar, kanan) berkata kepada The Malaysian Insider, video berkenaan adalah sebahagian kempen pertubuhan itu di media sosial dalam mendekati anak muda supaya mereka berupaya memberikan saranan polisi yang praktikal dan cadangan kepada kerajaan.
Kempen itu katanya, yang menggunakan #sayaZAHRA dan #sayasayangkanMalaysia digunakan MTEM dalam usaha menginsankan sasaran ekonomi yang disasarkan kerajaan.
"Rancangan Malaysia ke-11 mengatakan kita akan meningkatkan kedudukan mereka di bawah 40% kepada berpendapatan rendah. Jadi kami ingin paparkan betapa sukar realitinya. Kita tak mahu hanya sekadar retorik. Kami mahu memaparkan betapa sukarnya kehidupan untuk mereka yang melaluinya setiap hari.
"Zahra ini kes sebenar, dan kisah hidupnya sebenar. Kami cuba menginsankan angka-angka ekonomi dan bercakap tentang cabaran graduan muda yang mula menyertai kumpulan tidak bekerja."
Nizam berkata, belia boleh berkongsi kesukaran ekonomi mereka bersama MTEM dengan memuat naik di laman media sosial dengan 2 hashtag, atau berkongsi di laman Facebook "Saya Zahra".
MTEM katanya sudah menerima lebih 200 pengalaman sendiri setakat ini sejak video itu dimuat naik.
Beliau juga turut bercadang mengumpulkan kisah persendirian itu dan menggunakannya dalam pelbagai medium seperti video dan forum untuk membangkitkan kesedaran kepada orang ramai betapa kumpulan belia ini sedang berjuang menempuh kehidupan.
Syazana Azlan, 26, seorang pereka grafik turut berkongsi video berkenaan dan berkata kepada The Malaysian Insider, video itu menceritakan perkara dekat di hatinya dan kebenaran yang sukar ditemui di media. – 10 Julai, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments