Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan masih belum ada syarikat yang dilantik bagi membawa 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia kerana masih belum ada pemilihan dibuat.
Zahid berkata, hanya terdapat senarai beberapa syarikat yang memohon untuk membawa masuk pekerja asing dari negara tersebut malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum melantik mana-mana firma secara rasmi.
"Hanya disenarai pendek, belum lantik lagi. Kita sudah meminta cadangan, banyak syarikat yang berminat untuk sertainya," kata Zahid selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Polis Am dan Peralatan Khas Asia 2015 di PWTC pagi ini.
Zahid juga berkata, kontrak perjanjian masih belum dimuktamadkan.
Dalam jawapan bertulis semalam kepada soalan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, KDN mendedahkan Synerflux tersenarai untuk mengendalikan pengurusan atas talian kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh tetapi perbincangan masih sedang berjalan.
KDN berkata, syarikat itu tersenarai mengendalikan kemasukan kerana memiliki model cadangan mampan dan selari dengan syarat Putrajaya yang lebih sistematik, berkesan dan prosedur terkawal untuk membawa masuk pekerja.
Kontroversi tercetus sebelum ini selepas kontrak kemasukan pekerja tersebut dikatakan dianugerahkan kepada adik Zahid, Datuk Abdul Hakim Hamidi.
KDN bagaimanapun menafikan laporan yang mengatakan Zahid mengarahkan pengurusan sistem kontrak pekerja Bangladesh diberikan kepada syarikat adiknya dan mendakwa perkara itu masih diperingkat perbincangan. – 21 Oktober, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments