Bahasa

Tawfik Ismail cadang dana RM1 bilion Jakim disalur bantu miskin bandar

Tawfik Ismail berkata peruntukan RM1 bilion Jakim lebih baik disalurkan untuk membantu menangani masalah kemiskinan bandar, serta masalah belia Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 November, 2015.Tawfik Ismail berkata peruntukan RM1 bilion Jakim lebih baik disalurkan untuk membantu menangani masalah kemiskinan bandar, serta masalah belia Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 November, 2015.Walaupun disiasat kerana menghasut berhubung kenyataan berhubung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tawfik Ismail mempertahankan kenyataannya agensi persekutuan itu bermasalah dan perlu bertanggungjawab terhadap pembayar cukai.

Anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu turut mengkritik peruntukan hampir RM1 bilion terhadap agensi itu yang menurutnya boleh disalurkan lebih baik dengan menangani masalah kemiskinan bandar.

"RM1 bilion boleh dimanfaatkan dengan baik bagi mengatasi masalah belia Islam dan mencegah mereka daripada menjadi mat rempit dan direkrut bagi mencetuskan masalah di dalam dan luar negara dan memberi lebih kehormatan terhadap hidup mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, agensi Jabatan Perdana Menteri itu perlu menjelaskan sebab ia menampilkan dirinya sebagai penentu utama amalan agama Islam di Malaysia sewaktu agama itu sendiri mempunyai pelbagai pandangan yang berlainan berkenaan amalannya.

"Apakah undang-undang dari langit atau sekular yang memberikan Jakim kuasa bagi mendakwa Islam versi mereka merupakan satu-satunya versi Islam yang Muslim perlu amalkan sewaktu Malaysia mengiktiraf Amman Message yang menerima 8 mazhab Islam lain sebagai sah?

"Adakah Jakim mengutuk semua sebelum kita termasuklah pengasas negara ini sebagai hidup dalam zaman jahiliah? Ini bukan cara Melayu, tetapi cara fanatik asing agama yang menganggap sebarang bentuk sejarah dan amalan budaya sebagai dilarang," katanya.

Tawfik Ismail sebelum ini mengatakan Jakim patut dimansuhkan kerana jabatan agama tersebut tidak lagi relevan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 24 November, 2015.Tawfik Ismail sebelum ini mengatakan Jakim patut dimansuhkan kerana jabatan agama tersebut tidak lagi relevan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 24 November, 2015.

Menurutnya, Jakim kini seperti "kerajaan dalam kerajaan" kerana pengaruh mereka dalam hampir semua kementerian yang perkhidmatannya memberi kesan kepada hidup orang Islam dan bukan Islam.

"Terdapat pelbagai peluang buat Jakim menyalahguna kuasa jika ia diberi kuasa meluas menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh ke atas orang Islam, dan ini tidak membuat apa-apa dalam mengukuhkan integrasi nasional yang merupakan hujah utama terhadap kewujudan Jakim dalam hidup kita.

Polis kini menyiasat Tawfik atas dakwaan menghasut berhubung gesaannya supaya Jakim dimansuhkan.

Polis sudah memulakan siasatan selepas satu laporan dibuat di Shah Alam terhadap Tawfik, susulan komennya dalam artikel The Malaysian Insider terhadap agensi hal ehwal agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri itu.

Tawfik yang juga salah seorang ahli G25, kumpulan pesara kerajaan di kalangan Melayu, sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.

Polis semalam mengambil keterangan daripada seorang pengarang berita dan pemberita The Malaysian Insider bagi membantu siasatan.

Bekas ahli Parlimen Umno itu menimbulkan kontroversi dalam satu wawancara awal bulan ini apabila mengatakan Jakim perlu dimansuhkan kerana tidak mempunyai peranan dalam Perlembagaan. – 24 November, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments