Hubungan kerjasama antara kerajaan negeri Kelantan dan Putrajaya sudah wujud di negeri itu dan tiada keperluan untuk mewujudkan kerajaan campuran antara PAS dan Umno, kata pemimpin PAS.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, untuk membangunkan Kelantan selepas pasca-banjir, tidak perlu sehingga kerajaan campuran diwujudkan.
"Kerjasama dalam konteks G2G kita bersetuju, tetapi janganlah sahaja minta kerjasama tetapi Pusat tidak mahu dapatkan keadilan demokratik dahulu.
"Itu semua dalam konteks demokrasi. Tiada kerajaan campuran untuk baik pulih, mana ada tiada kuasa politik," kata Mahfuz, ketika sidang media Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur hari ini.
Pengasas syarikat penerbitan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub semalam menyeru agar kepimpinan PAS dan Umno di Kelantan membentuk kerajaan campuran dan mengetepikan politik mereka demi memastikan rakyat Kelantan mampu bangkit untuk menghadapi situasi selepas banjir yang meranapkan kediaman dan harta benda mereka.
Dalam wawancara eksklusif bersama akhbar terbitan syarikatnya, Sinar Harian, Hussamuddin berkata, rakyat Kelantan sudah terlalu lama terhimpit dalam pertembungan ideologi dua parti politik antara Barisan Nasional (BN) dan juga PAS di negeri itu.
Beliau berkata, hanya melalui pembentukan kerajaan campuran, usaha membangunkan kembali Kelantan akan mejadi lebih mudah setelah dilanda banjir besar yang mengorbankan 14 nyawa dengan empat lagi masih hilang di negeri yang ditadbir PAS itu.
"Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan tersepit sehingga kita terpaksa berhijrah disebabkan pertelingkahan antara dua kerajaan.
"Jadi saya rasa untuk pulihkan Kelantan bagi jangka masa pendek dan panjang, perlu sebuah kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat yang betul-betul jujur.
"Maknanya, kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama erat dalam erti kata yang sebenar kerana kita hendak semua perkara yang dirancang berjalan lancar.
"Dengan hubungan sekarang seperti yang kita tengok pada rekod-rekod yang lepas, setakat kerjasama sahaja tidak akan jadi (tidak mencapai matlamat) dan rakyat Kelantan akan sengsara," kata Hussammudin, dipetik laporan akhbar berkenaan.
Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, berdasarkan kenyataan Hussammuddin itu dapat dilihat kejahatan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) melayani Kelantan.
"Tetapi perlu dilihat bertapa jahatnya Umno dan BN. Bagaimana Umno dan BN ada sifat 3P, penzalim, pendera, dan pembuli Kelantan.
"Perlu berkongsi dengan mereka baru mereka akan tolong, itu kenyataan Husammuddin, di sebalik kenyataannya, beliau tahu, beliau hidup lama di Kelantan," katanya.
"Saya mahu masyarakat melihat kenapa Umno sukar membantu kerajaan Kelantan," katanya lagi.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments