Rakyat Malaysia boleh memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika mereka ingin berbuat demikian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, menyangkal dakwaan mengatakan pihak berkuasa agama itu tidak boleh disentuh.
Bekas perdana menteri itu berkata, sebuah negara demokrasi harus dibenarkan menubuhkan atau membubarkan mana-mana jabatan kerajaan yang mereka mahu.
"Jika orang mahu menyingkirkan Jakim, mereka boleh melakukannya. Kerana, ini negara demokrasi, mereka boleh berhenti menyokong kerajaan. Itu saja," kata Dr Mahathir pada sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Tawfik Ismail mengenai perkara itu, sambil menambah kenyataan anak sulung bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu merupakan pendapat peribadinya.
"Saya tidak bersetuju dengan dia, sebenarnya, sesiapa yang ada 'a little bit off his mind' (otak sedikit tidak betul) akan bersetuju dengan Tawfik," kata bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu.
Isnin lalu, dalam satu temubual sempena pelancaran buku yang mengandungi tulisan allahyarham bapanya semasa pembentukan negara, Tawfik berkata kepada The Malaysian Insider, Jakim perlu dibubarkan.
Katanya, Jakim dicipta pada zaman Dr Mahathir dan ia seolah-olah berfungsi tanpa tujuan selain campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia.
Tawfik berkata, tugas Jakim yang dikatakan bagi melindungi kesucian agama Islam, boleh digalas oleh Agong, Sultan, ulama serta mufti dan Jakim hanya badan penasihat kerajaan yang daripada segi Perlembagaannya, tidak benar-benar mempunyai peranan.
Bagaimanapun, kenyataan Tawfik itu tidak diterima baik kumpulan sayap kanan Melayu, Perkasa, yang mengatakan cadangan memansuhkan Jakim bertentangan dengan semangat negara, umat Islam dan perlembagaan.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri yang menjaga hal ehwal agama pula berkata, pandangan Tawfik itu tidak selaras dengan Perlembagaan dan semua pihak perlu menghormati Jakim. – 11 November, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments