Bahasa

Tiada mesyuarat tergempar Umno, kata Zahid

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini mengambil alih tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Mac 2016.	Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini mengambil alih tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Mac 2016. Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan satu mesyuarat tergempar akan diadakan dalam masa terdekat susulan tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa tokoh parti itu yang bersengkongkol dengan pembangkang, lapor Utusan Malaysia.

Zahid yang kini dipertanggungjawabkan mengambilalih tugas-tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden sejak 26 Februari lalu berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan.

“Kami tidak pernah membincangkan perkara itu,” beliau dipetik berkata akhbar milik Umno itu selepas menyempurnakan perasmian serentak Persidangan Umno Cawangan negeri Perak, di Ipoh, semalam. 

Jumaat lalu, Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia yang diusahakan Dr Mahathir ditandatangani lebih 50 individu termasuklah pemimpin pembangkang daripada PAS, PKR, DAP dan Amanah serta pemimpin veteran Umno.

Selain bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin, deklarasi itu turut ditandatangani Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada majlis pelancarannya, Dr Mahathir berkata, satu kempen seluruh negara akan dilancarkan bagi menggembleng seramai mungkin orang untuk menandatangani deklarasi itu.

Sabtu lalu, The Star Online melaporkan, Datuk Seri Najib Razak mungkin akan memanggil mesyuarat tergempar membincangkan nasib Muhyiddin dan Shafie dalam Umno, ekoran penglibatan mereka dalam menandatangani deklarasi itu. 

Portal berita itu memetik ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Hassan Malek berkata demikian, sambil menambah, Umno tidak akan bertolak ansur dengan musuh dalam parti. – 7 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments