Tindakan Putrajaya memindahkan 2 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) tanpa sebarang alasan dilihat sebagai perbuatan tidak adil, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Menurut portal Maljlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), ketua pemuda Umno itu berkata 2 pegawai SPRM tersebut hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.
“Saya melihat pemindahan pegawai itu sungguh pelik dan sangat mengecewakan. Biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan atau gangguan daripada mana-mana pihak,” katanya seperti dilaporkan portal BNBBC.
Khairy berkata, keadaan seperti itu tidak sewajarnya berlaku kerana institusi seperti SPRM yang mesti dipertahankan untuk sentiasa bebas dan dapat menjalankan tugas dengan telus.
Katanya, tindakan Putrajaya memindahkan 2 pegawai kanan SPRM hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mencetuskan kemarahan rakyat.
"Saya harap perkara ini ditangani dengan segera. Malah, saya difahamkan ada seorang pegawai SPRM dipindahkan hanya kerana kesalahan menerima kunjungan wakil rakyat pembangkang ke SPRM,” katanya.
“Rakyat akan beranggapan setiap kali SPRM mahu menjalankan tugas, macam-macam berlaku kepada mereka, termasuk pegawainya dipindahkan dan sebagainya,” katanya.
Menurut Khairy, semua pihak perlu menghentikan serangan, sekatan dan intimidasi terhadap pegawai-pegawai SPRM yang terbabit dengan siasatan kes syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana akan mengundang lebih banyak prasangka negatif terhadap kerajaan dan institusi terbabit.
Semalam Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan kerana "isu disiplin" berkuat kuasa serta merta.
Pemindahan mereka dibuat tidak lama selepas 7 pegawai SPRM disoal siasat, pejabatnya diserbu 2 kali dan 2 daripada pegawainya ditahan semalaman oleh polis dalam tempoh seminggu.
SPRM sedang menyiasat SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat yang sebelum ini dikaitkan dengan 1MDB. – 8 Ogos, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments