Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot hari ini menafikan seramai 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini susulan Malaysia dan Bangladesh menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) semalam.
Richard berkata, jumlah 1.5 juta itu adalah pekerja yang berdaftar dengan pemerintah Bangladesh untuk dihantar bekerja ke 139 negara yang memerlukan khidmat mereka.
"Jumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh itu adalah jumlah pekerja yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh melalui kementerian kebajikan ekspatriat dan pekerjaan luar negara untuk dihantar ke 139 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia," kata Richard pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
"Persepsi mengatakan 1.5 juta pekerja akan di bawa dari Bangladesh ke Malaysia adalah tidak benar," kata Richard.
Beliau berkata, tiada angka tertentu kemasukan pekerja Bangladesh yang akan diambil bekerja di negara ini dan ia terpulang kepada permintaan majikan.
"Bergantung kepada permintaan daripada industri. Angka 1.5 juta itu tidak tepat.
"Namun keutamaan kita akan berikan kepada pekerja tempatan. Itu yang paling penting," katanya.
Beliau berkata, majikan yang berminat untuk menggaji pekerja Bangladesh ini perlu mengisi permohonan mereka secara atas talian.
"Setakat ini belum ada syarikat yang membuat permohonan," kata Richard.
Beliau juga berkata, MoU yang ditandatanganinya tidak menyatakan angka spesifik kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia dan selepas tempoh 5 tahun ia akan dikaji semula.
Putrajaya juga katanya akan melaksanakan prosedur dalam saringan pekerja asing, terutamanya membabitkan kesihatan dan memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.
"Kita lebih ketat dalam saringan mereka yang mempunyai kes jenayah, mereka tidak akan di bawa masuk.
"Kita lebih ketat dengan saringan kesihatan," katanya.
Mengulas berhubung gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya Putrajaya menubuhkan Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) pendatang asing, Richard enggan mengulas lanjut kerana ia tertakluk di bawah kuasa perdana menteri. – 19 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments