Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, akses ke laman portal The Malaysian Insider (TMI) disekat kerana menyiarkan satu artikel memetik sumber yang tidak dinamakan daripada anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Salleh berkata, penyiaran artikel yang berkaitan isu membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu boleh mengelirukan rakyat kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM berkait isu sama.
"Ya, salah satu artikel memetik panel mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM.
"Sumber itu pun tidak tahu daripada siapa. Itu akan mengelirukan masyarakat. Kita ambil tindakan dan buat siasatan.
"Sebab itu ketua polis negara keluar kenyataan hari ini panggil pengarang TMI," kata Salleh kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini.
Salleh berkata, Putrajaya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kebebasan bersuara namun mengingatkan terdapat undang-undang yang mengawalnya.
"Kita boleh beri cadangan. Tapi ada perkara yang kita kena beritahu. Dalam kes ini (artikel TMI), panel itu tidak dinamakan. Kita perlu bertanggungjawab.
"Kita banyak laman web yang kritik kerajaan. Itu tidak ada masalah. Sinar Harian pun pandangan berbeza. Kami tidak mengawal pandangan anda, tetapi perlu berhati-hati," katanya.
Beliau berkata, sebaik saja terdapat aduan yang dibuat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web.
"Kita kena adil. Kalau ada aduan orang ramai terhadap perkara itu, kepada pemimpin pembangkang, kita juga akan ambil tindakan. Dalam hal ini memang ada aduan.
"Kita tidak kisah mana-mana pun, kita akan siasat. Siasatan awal dan disusuli siasatan penuh," katanya.
Akses laman web TMI semalam disekat SKMM atas alasan "mengancam keselamatan negara".
Sementara itu, dalam ucapannya, Salleh berkata, walaupun kebebasan bersuara wujud dalam negara, kerajaan tidak akan membenarkan berlakunya kebebasan yang merosakkan.
"Bagaimana kita mengurus perbezaan? Perbezaan tidak boleh diurus tanpa menghormati.
"Kita terikat dengan peraturan. Kita ada 'freedom of speech' (kebebasan bersuara) tetapi tidak 'freedom to destroy' (kebebasan memusnahkan)," katanya.
Beliau berkata, pihak SKMM memaklumkan kepadanya susulan aduan membabitkan artikel tersebut, tindakan diambil terhadap TMI dengan menyekat akses ke laman web itu.
"Saya dimaklumkan SKMM, mereka menerima aduan umum mengenai artikel di TMI dan mereka membuat penyiasatan awal dan mendapati ada artikel tersebut yang bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
"Oleh itu, mereka ambil keputusan menyekat akses TMI. Pada ketika ini mereka sedang jalankan penyiasatan lengkap dengan kerjasama polis agar tindakan susulan boleh diambil," katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitter miliknya berkata, Ketua Pengarang TMI Jahabar Sadiq dan beberapa pengarang serta wartawan terbabit dipanggil untuk membantu siasatan.
Salleh berkata, SKMM akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan penyiasatan.
"Banyak undang-undang boleh digunakan bergantung kepada kesalahan. SKMM sekat akses TMI di bawah seksyen itu kerana mereka ada kuasa," kata Salleh.
Beliau berkata, setiap aduan yang diterima SKMM akan disiasat sambil memberi jaminan, tindakan tidak diambil sewenang-wenangnya terhadap mana-mana portal atau blog.
"Setiap ada aduan, kita akan siasat. Kita bukan sewenang-wenangnya sekat. Ada siasatan awalnya. Jika siasatan awal kita tidak lihat kesalahan, kita tidak berbuat demikian.
"Kita perlukan siasatan penuh SKMM supaya tindakan boleh diambil. Itu prosedurnya," katanya ketika mengulas sama ada blog milik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di www.chedet.cc akan berdepan tindakan sama kerana mengkritik Najib.
Mengulas berhubung laman web lucah yang masih berleluasa walaupun sekatan dibuat, Salleh berkata tindakan sama ada dilakukan.
"Memang disekat semua tapi bila kita sekat mereka buat yang lain. Sudah tentu kita akan meneliti semua.
"Pada dasarnya, lucah atau perkara ekstremis itu, dengan sendirinya kita akan sekat. Media online ini, kita kena lihat jika ada aduan masyarakat," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran pengadu yang membuat laporan kepada SKMM terhadap TMI.
Salleh berkata, pihaknya hanya dimaklumkan SKMM mengenai tindakan yang bakal dilaksanakan dan menteri tidak mencampuri urusan suruhanjaya itu dalam membuat keputusan.
"SKMM bekerja dengan bebas. Mereka ada panel penyiasat dan bekerja rapat dengan polis. Mereka hanya maklumkan keputusan yang akan diambil.
"Menteri tidak buat keputusan," kata Salleh yang juga tidak memaklumkan tempoh sekatan yang dikenakan terhadap TMI. – 26 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments