Putrajaya akan mengecewakan rakyat, terutama mereka yang terlibat secara langsung, sekiranya ia tidak membentangkan pindaan yang sangat diperlukan bagi menghalang penukaran agama anak secara unilateral pada persidangan Dewan Rakyat yang akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong esok.
Jangkaan dan harapan sangat tinggi diletakkan kepada kerajaan supaya membentangkan pindaan yang diperlukan bagi Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Menteri bertanggungjawab hal ehwal undang-undang Nancy Shukri sebelum ini memberi gambaran yang pindaan itu akan dibentangkan sewaktu persidangan kali ini, tetapi bulan lepas mengeluarkan kenyataan, yang proses pindaan masih berlangsung dan mereka hanya merancang membentangkannya di Parlimen pada Jun nanti.
Bagaimanapun, terdapat perdebatan awam yang semakin memuncak terhadap isu itu, terutama sejak kes mahkamah M Indira Ghani dan S Deepa terhadap bekas suami mereka yang bertindak secara sendiri menukarkan agama anak mereka daripada Hindu kepada Islam.
Sebuah kumpulan bukan kerajaan agama Hindu diketuai Hindu Sangam mendakwa terdapat lebih 7,000 kes sebegitu yang masih belum diselesaikan.
Kumpulan itu meletakkan harapan tinggi kepada Nancy selepas beliau memberikan jaminan kepada mereka yang satu mesyuarat dengan perdana menteri akan diadakan tidak lama lagi bagi menyelesaikan isu itu.
Bagaimanapun, sehingga kini, draf perundangan itu masih belum diedarkan kepada penggubal undang-undang Parlimen, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran.
“Kerajaan sudah berjanji membentangkan pindaan yang diperlukan bagi menghalang pertukaran agama unilateral. Untuk tujuan itu, sebuah jawatankuasa agama terdiri daripada 5 orang menteri dibentuk.
“Tetapi sehingga kini, draf perundangan itu masih belum diedarkan kepada kami,” kata Kula kepada The Malaysian Insider.
Parlimen akan bersidang selama 20 hari sehingga 7 April, dengan 2 minggu pertama diperuntukkan bagi membahaskan titah ucapan Agong semasa pembukaan Dewan.
Desas-desus usul tidak percaya kepada perdana menteri juga kini bertiup kencang semula selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pergerakan gabungan kumpulan sivil dan pemimpin pembangkang Jumaat lepas dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan salah tadbir berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Wong Chen daripada PKR berkata, perkembangan terkini itu mungkin akan menyebabkan serangan terbaru kepada Najib melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
Bagaimanapun, beliau mengakui setakat ini masih belum ada petanda jelas yang ahli Parlimen Barisan Nasional akan memihak kepada Dr Mahathir.
“Sehingga mereka secara rasmi memberikan sokongan kepada Dr Mahathir dalam usahanya menjatuhkan perdana menteri, usul undi tidak percaya mungkin tidak akan berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Majoriti 2/3 diperlukan untuk menjayakan satu undi tidak percaya. Pembangkang hanya memiliki 88 kerusi daripada 222 di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kelana Jaya itu berkata, kaedah lain untuk menghantar mesej memberontak kepada perdana menteri ialah dengan tidak meluluskan perundangan, satu cara untuk memberitahunya yang beliau sudah hilang kepercayaan ahli Dewan.
Perundangan lain yang mungkin akan dibentangkan dalam persidangan kali ini termasuk cadangan pindaan untuk mengetatkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, seperti diumumkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bulan lepas.
Beliau ketika itu berkata, mempertimbangkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan sebagai hukuman yang lebih berat di bawah OSA, dan menambah, wartawan yang melindungi sumber berita mereka juga boleh dikenakan tindakan.
Bagaimanapun Rabu lepas, peguam negara memberi jaminan kepada Kesatuan Wartawan Kebangsaan yang cadangan pindaan itu tidak menyasarkan wartawan.
Dalam perkembangan berkaitan OSA, laporan akhir audit tentang 1MDB sudah dihantar Jabatan Audit Negara kepada Majlis Keselamatan Negara untuk diklasifikasikan di bawah akta tersebut.
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang memberikan penerangan kepada ahli PAC mengenai laporan akhir audit terhadap syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu pada Jumaat lepas dan dijangka akan diteruskan esok.
Satu lagi perkara yang ditunggu ialah sama ada Putrajaya akan menyahut seruan Majlis Raja-raja bagi mengubahsuai sebilangan peruntukan dalam Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember lepas.
Akta itu memberikan kuasa khas kepada pengarah operasi dan pasukan ketenteraan untuk mengawal dan menguruskan operasi berkaitan keselamatan negara.
Majlis Raja-raja menimbulkan perkara itu selepas peguam negara memberikan penjelasan kepada mereka tentang Akta MKN sewaktu Persidangan Majlis Raja-raja ke-240 di Istana Negara.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula dilaporkan Bernama sebagai berkata, satu majlis khas memperingati MH370 akan diadakan.
Pesawat milik Malaysia Airlines yang membawa 239 orang itu hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. – 6 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments