Bahasa

Umno Kedah setuju tindakan tegas terhadap Muhyiddin dan Mukhriz

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebagai mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya faham dengan tuntutan yang perlu diasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebagai mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya faham dengan tuntutan yang perlu diasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.Badan Perhubungan Umno negeri Kedah hari ini sebulat suara bersetuju tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang melanggar tataetika parti dengan menyertai 'Deklarasi Rakyat' baru-baru ini.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata penglibatan Muhyiddin dan Mukhriz jelas  melanggar tataetika seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti kerana mereka berdua masih lagi ahli Umno yang sah.

"Kami kesal dan kecewa dengan penglibatan mereka dalam Deklarasi Rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Umno dan Barisan Nasional di Seri Mentaloon hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Umno Kedah Datuk Rozai Shafian dan semua ketua Umno bahagian di Kedah.

Jumaat lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai tindakan menandatangani Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak yang turut disertai Muhyiddin, Mukhriz, ahli pembangkang bersama-sama 50 yang lain.

Ahmad Bashah yang juga menteri besar Kedah berkata sebagai mantan presiden Umno, Dr Mahathir sepatutnya faham dengan tuntutan yang perlu diasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen.

"Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan dengan matlamat menghalalkan cara, jelas prinsip demokrasi dicabuli beliau yang secara tidak langsung menafikan hak pengundi yang memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu," katanya.

Katanya walaupun pelbagai kemelut berlaku sejak kebelakangan ini, seluruh ahli Umno Kedah berikrar untuk tetap taat dan setia kepada Najib serta bersama-sama presiden Umno  itu dalam menghadapi PRU14.

"Badan Perhubungan Umno negeri memohon supaya presiden terus fokus kepada pembangunan negara dalam usaha untuk memulihkan ekonomi dan keselamatan negara yang merupakan keutamaan buat masa ini.

"Jentera parti juga akan dimantapkan di semua peringkat bagi menghadapi segala bentuk cabaran dari dalam mahu pun luar dan tidak akan sesekali tunduk dan berundur dalam perjuangan menentang musuh parti," katanya.

Di Kuantan Umno Bahagian Indera Mahkota mengecam tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang untuk menggulingkan Najib melalui Deklarasi Rakyat.

Ketuanya Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid berkata tindakan Dr Mahathir dan beberapa tokoh politik Umno serta pembangkang itu dilihat tidak menghormati Perlembagaan negara.

"Kita sepakat mengecam dan menolak tindakan mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan presiden Umno dan perdana menteri. Ini bukan cara yang betul dan apabila Dr Mahathir turut sama menandatangani deklarasi itu ia amat mengecewakan kami," katanya pada sidang akhbar di pejabat Umno Bahagian Indera Mahkota hari ini.

Beliau berkata keputusan yang dibuat senada dengan Badan Perhubungan Umno negeri Pahang yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan akar umbi serta akan terus mendokong dan menyokong penuh Najib.

Mustafar Kamal berkata sebarang tindakan menggulingkan kerajaan di luar kotak perundangan negara serta menghasut rakyat adalah bertentangan dengan teras sesebuah kerajaan yang dimandatkan rakyat menerusi pilihan raya umum.

Di Kuantan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Bera sebulat suara mengesyorkan supaya jawatan kerajaan yang diberikan kepada Dr Mahathir dilucutkan.

Ketua Umno Bahagian Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Umno Bahagian Bera mengutuk sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk menggulingkan perdana menteri secara tidak sah.

"Tindakan bersekongkol dengan DAP, parti dan badan bukan kerajaan pembangkang yang merupakan musuh Umno untuk menggulingkan presiden Umno merupakan pengisytiharan perang kepada Umno dan keseluruhan anggotanya," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu juga menegaskan yang Umno Bahagian Bera menyokong penuh kepimpinan Najib dan mendesak Majlis Tertinggi parti agar mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin dan Mukhriz. – Bernama, 6 Mac  2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments