Bahasa

Utamakan kepentingan awam dalam kes pertukaran agama sebelah pihak, kata mufti

Kepentingan awam faktor utama dalam membuat keputusan hak penjagaan anak melibatkan ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. – Gambar The Malaysian Insider, 29 Februari, 2015.Kepentingan awam faktor utama dalam membuat keputusan hak penjagaan anak melibatkan ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. – Gambar The Malaysian Insider, 29 Februari, 2015.Kepentingan awam sepatutnya menjadi faktor utama apabila membuat keputusan tentang hak penjagaan anak yang melibatkan ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini.

Katanya, terdapat beberapa artikel dalam enakmen syariah yang perlu diperbaiki supaya kes seperti ini dapat dikendalikan dengan adil.

"Pada pandangan saya, tiada peruntukan dalam Al-Quran dan hadis berkaitan hal ini. Apabila penyelesaian berdasarkan Al-Quran tidak diperolehi, kita mesti merujuk kepada kepentingan awam.

"Islam menggalakkan prinsip seperti keadilan dan kebijaksanaan. Apa yang bertentangan dengan itu, tidak Islamik," katanya selepas mengadakan perbincangan tertutup bersama ketua semua agama di pejabatnya di Komtar, George Town, hari ini.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah  ketua agama tertinggi negeri iaitu Biskop Pulau Pinang Sebastian Francis dan Biskop Emeritus Antony Selvanayagam; paderi Katolik iaitu Father Fabian Dicom dan Father Henry Rajoo; rektor College General Father Gerard Theraviam; blogger Anil Netto dan Naib Pengerusi Biro Lajnah Dakwah PAS Abdul Rahman Kassim yang juga dikenali sebagai pengantara parti Islam itu yang menganjurkan program antara agama sejak beberapa tahun ini.

Selain perebutan hak penjagaan anak antara ibu bapa berlainan agama, mereka turut membincangkan isu pertukaran agama secara unilateral, ancaman Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) dan keganasan.

Wan Salim berkata, dalam pertemuan itu, seorang wakil daripada Mahkamah Syariah menjelaskan tiada pertindihan undang-undang di antara Makhkamah Syariah dan Mahkamah Sivil berkaitan isu perebutan hak penjagaan anak melibatkan ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam.

Mufti itu menggambarkan pertemuan itu sebagai bersejarah kerana ia pertama kalinya diadakan antara pejabatnya dan ketua-ketua agama Kristian.

"Sangat penting untuk mengadakan perbincangan seperti ini untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam masyarakat" katanya kepada pemberita selepas pertemuan selama 2 jam itu selesai.

Wan Salim menyifatkan pertemuan itu berjaya untuk kedua-dua agama memandangkan menghadapi cabaran yang sama daripada keruntuhan akhlak dalam masyarakat.

"Di Malaysia, majoriti penduduknya berpegang teguh kepada agama dan nilai-nilai moral. Tiada agama yang menggalakkan keganasan atau fahaman melampau.

"Tetapi ia berlaku dalam agama Islam dan sesetengah komuniti kerana adanya orang yang jahil tentang agama, salah tempat rujukan atau merujuk kepada agamawan yang tidak bertauliah, seperti mereka di dalam Isis yang membuat tafsiran sendiri. Ini merbahaya," katanya.

Wan Salim berkata, Islam menolak keganasan dan pembunuhan, termasuk fahaman melampau yang menganggu gugat hubungan baik antara komuniti berbeza agama.

Katanya, ini ditegaskan di dalam pertemuan itu.

Sementara itu, Francis berkata ketua-ketua Katolik itu berterima kasih kepada mufti itu kerana menerima kunjungan itu dan kagum dengan komitmen beliau berkaitan isu keadilan, keamanan dan belas kasihan.

Francis berkata Pulau Pinang selama ini mengamalkan hubungan harmoni antara berbilang agama dan menggalakkan semua orang menjadi 'penyambung silaturrahim'.

"Kami akan beri kepimpinan dalam hal-hal berkaitan agama dan moral untuk orang-orang kami. Banyak perkara yang kami persetujui. Ini apa yang Tuhan kehendaki atas kita."

Francis juga merayu pertemuan antara agama seperti itu diteruskan, sambil menambah, pihak gereja kadangkala dikunjungi mahasiswa Islam untuk sesi dialog dan perbincangan.

Disember tahun lalu, Francis dan sekumpulan paderi Katolik dibawa melawat ke sebuah masjid di Kepala Batas.

Sebelum itu, Francis pernah menghadiri beberapa acara bersama-sama pemimpin PAS negeri.

Awal bulan lepas, Archbishop Kuala Lumpur Julian Leow bertemu Mufti Kuala Lumpur Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan bercakap tentang pelbagai isu, termasuk isu toleransi dan sikap menghormati antara agama.

Pertemuan itu diadakan di tengah-tengah ketegangan antara 2 komuniti selepas kontroversi seminar anti Kristian yang diadakan di Universiti Teknologi Mara 2 bulan lepas.

Terdapat juga pergeseran dalam komuniti berkaitan isu dan kontorversi seperti penggunaan kalimah Allah dalam kitab injil Bahasa Melayu, pertukaran agama anak dibuat sebelah pihak dan perebutan hak penjagaan anak antara ibu bapa berlainan agama. – 29 Februari, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments