Bahasa

Wakil rakyat PKR minta peguam negara jelas pemindahan dana SRC kepada Najib

Wakil rakyat Kelana Jaya Wong Chen berkata kenyataan perdana menteri yang SRC International tidak tahu apa-apa mengenai dana yang dipindahkan ke dalam akaun beliau mengejutkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac 2016.	Wakil rakyat Kelana Jaya Wong Chen berkata kenyataan perdana menteri yang SRC International tidak tahu apa-apa mengenai dana yang dipindahkan ke dalam akaun beliau mengejutkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac 2016. Seorang ahli Parlimen PKR hari ini menggesa peguam negara menjelaskan jejak aliran wang di antara SRC International dan Datuk Seri Najib Razak, memandangkan kini firma itu menafikan mengetahui mengenai dana yang dipindahkan ke dalam akaun perdana menteri.

Wakil rakyat Kelana Jaya Wong Chen berkata, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang medianya 26 Januari lalu mengesahkan dana daripada syarikat milik Kementerian Kewangan itu didepositkan ke dalam akaun Najib.

Tetapi Najib, yang juga menteri kewangan, hari ini berkata SRC International tidak tahu apa-apa mengenai dana yang dipindahkan ke dalam akaun beliau itu.

"Kalau hendak dikatakan, jawapan daripada menteri kewangan itu mengejutkan kerana ia merupakan penafian keseluruhan mengenai adanya pemindahan RM42 juta yang didakwa dibuat ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

"Penafian keseluruhan itu juga bertentangan dengan kenyataan akhbar rasmi peguam negara berkenaan isu SRC, di mana beliau mengakui pemindahan SRC wujud tetapi perdana menteri tidak akan didakwa," kata Wong Chen kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata peguam negara, bersama-sama dengan Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara perlu menjelaskan sama ada wang itu dipindahkan ke akaun Najib.

"Jika semua pihak dapat membuktikan urus niaga ini tidak pernah berlaku, maka saya akan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan menteri kewangan yang juga perdana menteri.

"Jika mana-mana daripada 4 pihak ini menyangkal penafian keseluruhan menteri kewangan itu dan mengesahkan urus niaga itu berlaku, ia membuktikan perdana menteri berbohong kepada Parlimen," kata Wong Chen.

Beberapa dokumen ditunjukkan peguam negara pada sidang media pada Januari menunjukkan SRC International memindahkan RM170 juta kepada Putra Perdana Construction antara 8 Julai dan 8 Ogos 2014.

Putra Perdana Construction, kemudiannya memindahkan RM34.99 juta kepada Permai Binaraya, yang memindahkan RM27 juta ke akaun bank persendirian yang berakhir dengan nombor "880".

Wang yang dipindahkan kepada akaun "880" itu digunakan untuk membayar bil Visa dan MasterCard Najib berjumlah RM3.2 juta, menurut carta Apandi itu.

The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tahun lepas, antara Disember 2014 dan Februari 2015, SRC International memindahkan RM50 juta kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari, yang memindahkan RM50 juta kepada Ihsan Perdana.

Ihsan Perdana ialah sebuah syarikat swasta yang ditubuhkan bagi menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk 1MDB.

Dari Ihsan Perdana, RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib di AmBank dalam 3 deposit sebanyak RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, kata WSJ.

Pada 26 Januari, Apandi berkata, tidak cukup bukti untuk mendakwa Najib atas sebarang salah laku selepas meneliti kertas siasatan yang melibatkan SRC International dan derma RM2.6 bilion itu.

Ini kerana, Najib tidak menyedari SRC International memindahkan wang ke dalam akaunnya, dan beliau menyangkakan dana itu adalah sebahagian daripada derma yang diterimanya dari keluarga diraja Saudi, katanya. – 9 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments