Seorang Ahli Parlimen Umno Dr Noor Azmi Ghazali hari ini menyifatkan akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) ialah seperti ratu cantik yang dari luarannya nampak cantik, tetapi di dalamnya berpanau.
Wakil rakyat Bagan Serai itu berkata, WSJ tidak boleh dipercayai kerana membuat laporan sensasi bagi mendapatkan populariti supaya orang ramai membeli akhbar mereka.
"WSJ ini akhbar perniagaan, dia ini buat cerita sensasi sahaja.
"Mereka bagi gambaran sensasi supaya orang ramai beli akhbar mereka," katanya semasa membahas titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau kemudian membuat perbandingan WSJ dengan ratu cantik yang hanya nampak elok dari luar tetapi buruk di dalamnya.
"WSJ ini seperti ratu cantik. Dia cantik, tetapi bila selak, dalam ada panau," katanya.
Kritikan Noor Azmi tersebut dibidas ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin yang mengatakan WSJ bukan seperti Utusan Malaysia yang sudah banyak kali menerima kes saman terdahulu.
"Jangan samakan WSJ dengan Utusan," ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) itu mencelah.
Julai lepas, WSJ melaporkan aliran tunai sebanyak RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui entiti berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memetik dokumen hasil siasatan pasukan petugas khas lantikan Putrajaya.
Akhbar itu juga mengeluarkan rencana mengenai perkara itu.
Najib menafikan mengambil dana 1MDB bagi kegunaan peribadi tetapi masih belum bertanggungjawab ke atas wang tersebut.
Dana itu, sebahagian besar dimasukkan sebelum pilihan raya umum pada Mei 2013, disifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai derma politik.
Najib mengeluarkan arahan menyaman WSJ awal Ogos tahun lepas, selepas SPRM memberitahu wang itu datangnya daripada penderma dan bukannya daripada 1MDB.
WSJ pula enggan memberikan maklum balas kepada peguam Najib yang meminta penjelasan sama ada laporan akhbar itu mengenai akaun Najib bermaksud mereka menuduh perdana menteri menyalahgunakan kuasa.
Akhbar itu sebaliknya mempertahankan laporan mereka bertarikh 2 Julai, dan rencana susulan menyentuh isu itu diterbitkan pada 6 Julai, yang mengatakan laporan itu jelas dan berasaskan kertas siasatan pasukan penyiasat Malaysia. – 10 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments