Bahasa

Warga asing perlu lulus bahasa kebangsaan sebelum dibenarkan bekerja, kata Perkasa

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata pekerja Bangladesh sepatutnya ada sijil bertutur bahasa kebangsaan sebagai salah satu syarat untuk masuk bekerja di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Februari, 2016.Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata pekerja Bangladesh sepatutnya ada sijil bertutur bahasa kebangsaan sebagai salah satu syarat untuk masuk bekerja di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Februari, 2016.Pekerja Bangladesh sepatutnya mempunyai sijil bertutur bahasa kebangsaan sebagai salah satu syarat untuk masuk bekerja di Malaysia, kata Perkasa hari ini, mengkritik keputusan Putrajaya meluluskan kemasukan 1.5 juta pekerja dari negara itu baru-baru ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata di negara lain pekerja asing hanya boleh datang bekerja sekiranya lulus bahasa kebangsaan negara berkenaan, tetapi tidak di Malaysia.

"Daripada hotel sehingga warung, ambil pekerja asing. Yang menyedihkan, langsung tidak pandai bahasa kebangsaan. Sepatutnya mesti ada sijil boleh bertutur bahasa kebangsaan baru boleh masuk kerja di Malaysia.

"Belajar dulu di negara asalnya. Rakyat tempatan bagaimana? Pengangguran terus meningkat. Kerajaan kena ada dasar yang jelas dan tegas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Bangladesh meluluskan draf perjanjian persefahaman (MoU) berhubung penghantaran rakyatnya bekerja di negara ini.

Menurut setiausaha Kabinet Mohammad Shafiul Alam, warga Bangladesh kini boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan di mana sebelum ini mereka hanya terhad bekerja dalam sektor perladangan, katanya seperti dilaporkan portal berita Bangladesh, bdnews24.com.

Ibrahim dalam kenyataan itu berkata, Perkasa menggesa Putrajaya menangguhkan dulu keputusan tersebut sehingga kajian serta maklum balas daripada semua pihak dilakukan terlebih dulu kerana ia bakal memberikan impak kepada negara pada masa akan datang.

"Kesan keselamatan dan berbagai implikasi pasti timbul dan cuba bayangkan dengan jumlah yang sudah sedia ada dalam negara sama ada yang datang secara halal (sah) atau haram.

"Kes jenayah tidak sedikit sudah berlaku sebelum ini. Industri memang cenderung ambil pekerja asing kerana gaji murah," katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Namun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan keperluan kerajaan berhubung kemasukan tersebut, dengan mengatakan pelaksanaan itu bertentangan dengan polisinya untuk hanya mempunyai 15% pekerja asing dalam tenaga kerja menjelang 2020.

Setiausaha Agung MTUC N Gopal Krishnam berkata, setakat ini sudah ada 2.1 juta pekerja asing yang didokumenkan dalam negara, sementara 4 juta lagi dipercayai pendatang tanpa izin.

Katanya, dengan kedatangan 1.5 juta lagi, pekerja asing kolar biru akan membentuk 20% daripada populasi itu. – 10 Februari, 2016. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments