Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan menafikan sekeras-kerasnya menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Beliau melahirkan rasa terkejut apabila mendapati namanya tersenarai antara mereka yang menandatangani deklarasi tersebut, yang disiarkan media.
"Untuk mengatakan saya berpihak kepada mereka yang menandatangani deklarasi itu dan akan berarak menentang kerajaan, saya menafikan sekeras-kerasnya...saya tidak terlibat," katanya kepada Bernama hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia itu ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kerana sedang mendapatkan rawatan akibat pendarahan dalam perut sejak Isnin lepas.
Mengulas lanjut, Mohd Zaman Khan, 73, berkata beliau dimaklumkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang namanya tersenarai dalam deklarasi tersebut.
Zaman berkata beliau menemui Ibrahim beberapa hari lepas yang melawatnya di pusat perubatan berkenaan.
Namun katanya mereka berbual tentang masalah kesihatannya dan tidak langsung menyentuh mengenai isu menyokong penyingkiran Najib.
Semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR - dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik. – Bernama, 5 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments