bahasa

10 Februari hari gelap kehakiman Malaysia, kata Pakatan

Pemimpin Pakatan Rakyat mengatakan apa yang diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini bagi kes Liwat II tidak dapat diterima kerana isu yang dibangkitkan dalam keputusan mereka tidak masuk akal. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 10 Februari, 2015.Pemimpin Pakatan Rakyat mengatakan apa yang diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini bagi kes Liwat II tidak dapat diterima kerana isu yang dibangkitkan dalam keputusan mereka tidak masuk akal. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 10 Februari, 2015.Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan kes Liwat II membuktikan Mahkamah Persekutuan di Malaysia tidak bebas dan menghina sistem demokrasi di Malaysia, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Strategi PKR Sim Tze Sin berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini amat memalukan dan menyedihkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Rakyat kena ingat hari ini 10 Februari sebagai hari kegelapan kepada sistem kehakiman Malaysia. Saya sedih bagi Malaysia dan akan meneruskan perjuangan.

"Kita lihat hakim hanya menumpu kepada pendakwa raya sahaja. Hujah peguam pembelaan tidak dinampakkan dengan jelas.

"Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan yang salah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata, apa yang diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak dapat diterima kerana isu yang dibangkitkan dalam keputusan mereka tidak masuk akal.

Katanya, keputusan hari ini jelas menunjukkan kes politik yang hendak menghabiskan sekali gus peranan Anwar di Malaysia.

"Bila mereka nampak penghakiman bukti Saiful itu adalah benar, boleh diterima dan DNA juga boleh diterima, jelas Mahkamah Persekutuan tidak bebas dan menghina demokrasi di Malaysia," katanya.

Ahli Parlimen PAS Datuk Kamarudin Jaafar berkata keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memeranjatkan kerana menyokong apa yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

"Keputusan amat memeranjatkan saya sebab setakat kita ikuti Mahkamah Persekutuan, ini ia dilihat lebih yakin kepada hujah dan saksi pihak pendakwa.

"Lebih yakin dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," katanya ketika ditemui di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments